Pengurangan sewa premis UDA legakan PMKS

Peniaga, Abbas Ngabasuki Sunarpi/RTM

KUALA LUMPUR, 9 Mei – Inisiatif pengurangan kadar sewa sehingga 20 peratus bagi usahawan yang beroperasi di premis UDA Holdings Berhad dilihat mampu meringankan beban Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang berdepan cabaran ekonomi semasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peniaga hadapi tekanan kos operasi, kenaikan harga bahan mentah dan pengurangan jumlah pelanggan yang menjejaskan pendapatan.
  • Pengurangan sewa memberi kelegaan kewangan, membolehkan pembaikan dan peluang untuk menstabilkan semula operasi perniagaan.
  • Lebihan wang boleh digunakan bagi kebajikan pekerja, insentif, dan membantu mengekalkan tenaga kerja tempatan.
  • Kementerian umum inisiatif UDA termasuk diskaun sewa, moratorium bayaran sewa dan bantuan kos utiliti untuk PMKS.

Menurut para peniaga, tekanan kos operasi, kenaikan harga bahan mentah serta komitmen sewa bulanan terus memberi cabaran kepada perniagaan mereka, terutama ketika jumlah pelanggan masih belum kembali stabil.

Pengusaha kedai gambar, Zamrin Ahmad berkata, keadaan ekonomi semasa menyebabkan pelanggan mula mengurangkan perbelanjaan termasuk bagi perkhidmatan mencuci gambar, album dan bingkai gambar sejak awal tahun ini.

Menurutnya, walaupun jumlah pelanggan berkurangan, komitmen seperti bayaran sewa premis tetap perlu dijelaskan setiap bulan.

“Memang terasa sangat pengurangan sewa itu. Kalau betul dapat moratorium, duit itu boleh digunakan semula untuk memperbaiki perniagaan. Jadi, pengurangan sewa ini memang banyak membantu,” katanya.

Sementara itu, pengusaha makanan, Shazie Sapian berkata, pengurangan sewa memberi sedikit kelegaan kepada peniaga kecil khususnya dalam sektor makanan yang terkesan akibat peningkatan kos operasi dan harga bahan mentah.

Beliau berkata, lebihan wang hasil pengurangan sewa boleh dimanfaatkan bagi membantu kebajikan pekerja serta memperkukuh operasi perniagaan.

“Kalau ada pengurangan sewa, lebihan itu boleh digunakan untuk memberi insentif kepada pekerja, termasuk bonus atau duit raya. Ini penting kerana kami juga mahu pekerja kekal bekerja, tambahan pula sekarang agak susah mendapatkan pekerja tempatan,” katanya.

Bagi pengusaha barangan kulit, Abbas Ngabasuki Sunarpi pula, bantuan itu disifatkan tepat pada masanya memandangkan kenaikan harga bahan dan sewa premis memberi tekanan kepada perniagaan kecil yang diusahakan bersama keluarga.

Katanya, pengurangan kadar sewa dapat membantu mengurangkan beban harian serta memberi ruang menstabilkan semula operasi perniagaan.

“Memang harga barang semua naik termasuk benang dan bahan-bahan lain. Jadi apabila kadar sewa diturunkan, ia sedikit sebanyak membantu mengurangkan beban kami,” katanya.

Terdahulu, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) mengumumkan tiga inisiatif utama UDA termasuk diskaun sewa sehingga 20 peratus, moratorium bayaran sewa serta bantuan kos utiliti bagi membantu PMKS yang terkesan akibat krisis bekalan global.