
KUALA LUMPUR, 16 Jun – Presiden Timor-Leste, Jose Ramos-Horta menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas peranan beliau selaku Pengerusi ASEAN 2025 sehingga republik itu secara rasmi diterima sebagai anggota penuh ke-11 pada Oktober, tahun lalu.
- Menghargai usaha diplomatik pelbagai pihak, termasuk PBB dan negara sahabat, membantu persiapan Timor-Leste sejak permohonan ke ASEAN 2011.
- Menekankan kemajuan besar Asia Tenggara dalam ekonomi, pendidikan, kesihatan dan pembangunan sosial sepanjang beberapa dekad.
- Menggesa dialog inklusif dan gencatan senjata supaya bantuan kemanusiaan disalurkan dan proses perdamaian bagi isu Rohingya dapat dijayakan.
Ramos-Horta berkata peranan penting Datuk Seri Anwar itu, berjaya membawa kepada kestabilan, kemakmuran dan pembangunan kepada negara-negara serantau, selain turut menghargai usaha diplomatik pelbagai pihak termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta masyarakat antarabangsa.
“Ia merupakan satu usaha yang amat besar bagi pihak kami untuk mempersiapkan negara sejak kami mula memohon untuk menyertai ASEAN pada 2011.
“Sebelum itu, kami juga menerima sokongan dan solidariti yang amat besar daripada banyak negara anggota ASEAN, selain Australia, New Zealand, Jepun dan Korea Selatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi syarahan ulung di Majlis Pelancaran Buku ‘The Rising Sun: Timor-Leste’s Journey to Peace and Development’ di sebuah hotel di ibu negara hari ini.
Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Timbalan Menteri Luar, Datuk Lukanisman Awang Sauni, Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Simon Fellows dan Ketua Pengarah Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFRl), Datuk Zainol Rahim Zainuddin.
Tambah beliau, rantau Asia Tenggara telah mencapai kemajuan besar dalam pelbagai aspek termasuk ekonomi, pendidikan, kesihatan dan pembangunan sosial sepanjang beberapa dekad lalu.
Dalam pada itu, mengulas mengenai konflik pelarian etnik Rohingya beliau berkata, isu tersebut agak sukar diselesaikan kerana ia berkait rapat dengan konflik berpanjangan di Myanmar yang turut melibatkan pelbagai kumpulan etnik dan pihak tertentu.
Namun pemenang Hadiah Keamanan Nobel 1996 itu menegaskan, ia bagaimanapun tidak mustahil untuk diselesaikan menerusi dialog secara inklusif yang memerlukan penglibatan semua pihak termasuk kerajaan, kumpulan bersenjata dan masyarakat selain mengetepikan perbezaan politik.
Beliau turut menyeru agar gencatan senjata diwujudkan bagi membolehkan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan dan proses perdamaian dapat direalisasikan.
Ramos-Horta dijadual berlepas pulang ke Dili pada esok selepas empat hari lawatan khas beliau ke Kuala Lumpur sejak 13 Jun 2026.