
LABUAN, 26 November – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) komited memperkukuh kerjasama strategik bersama jabatan, agensi kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi meningkatkan keberkesanan pelaksanaan program dan pembangunan ummah di Wilayah Persekutuan Labuan.
- Kerjasama merentas agensi menggabungkan kepakaran, sumber dan pengalaman untuk memberikan impak lebih besar kepada masyarakat.
- Memperkukuh syiar Islam dan membangunkan ummah memerlukan sokongan serta komitmen semua pihak.
- Majlis Meet & Greet menghargai sumbangan rakan strategik dalam kepakaran, logistik, penyelarasan dan hebahan program.
- Hubungan kerjasama diharap terus diperkasakan melalui perkongsian idea, maklumat dan kepakaran demi memenuhi keperluan masyarakat.
Pengarah JAWI, Hanifuddin Roslan berkata, kerjasama merentas agensi amat penting dalam memastikan pelbagai kepakaran, sumber dan pengalaman dapat digabungkan sekali gus memberikan impak lebih besar kepada masyarakat.
“Tanggungjawab memperkukuh syiar Islam dan membangunkan ummah bukan terletak pada satu organisasi semata-mata, sebaliknya memerlukan sokongan serta komitmen semua pihak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Meet & Greet JAWI Bersama Rakan Strategik Wilayah Persekutuan Labuan 2026 di sini.
Majlis tersebut turut menjadi platform menghargai sumbangan dan komitmen rakan strategik dalam menjayakan pelbagai program JAWI merangkumi aspek kepakaran, logistik, penyelarasan dan hebahan.
Dalam pada itu, beliau berharap hubungan kerjasama berkenaan terus diperkasakan menerusi perkongsian idea, maklumat dan kepakaran bagi memenuhi keperluan masyarakat secara lebih menyeluruh.
JAWI turut menzahirkan penghargaan kepada semua rakan strategik yang konsisten memberikan sokongan dalam usaha memperkukuh pengurusan hal ehwal Islam serta kesejahteraan masyarakat di Labuan.
Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Ketua Penolong Pengarah Kanan JAWI Labuan, Dr. Mohd Aizam Mas’od.