
KUALA LUMPUR, 26 November – Kementerian Komunikasi memberi tumpuan kepada tiga aspek utama bagi memastikan sekolah, khususnya di luar bandar dan pedalaman, menikmati capaian internet yang stabil dan berkualiti.
- JENDELA Kumpulan 1 dilaksanakan berperingkat mulai November, melibatkan pembinaan 1,000 tapak di seluruh negara.
- Projek gentian optik PoP bernilai RM4.6 bilion menyediakan infrastruktur internet kepada sekolah dan komuniti setempat.
- Internet 100Mbps ditawarkan serendah RM49 sebulan, manakala perolehan dan langganan di sekolah diuruskan KPM.
Antaranya ialah pembangunan infrastruktur digital menerusi JENDELA dan PoP, penyediaan infrastruktur internet berkelajuan tinggi serta pembahagian tanggungjawab dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, sebanyak 10,207 daripada 10,259 sekolah di seluruh negara kini mempunyai liputan rangkaian 4G, bersamaan 99.5 peratus kadar liputan kawasan berpenduduk.
Bagi memperkukuh infrastruktur digital, Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang melaksanakan JENDELA Kumpulan 1 secara berperingkat mulai November ini.
Jelasnya, projek itu membabitkan pembinaan 1,000 tapak di seluruh negara, termasuk 12 tapak di Johor.
“Bagaimanapun, pelaksanaan JENDELA 2 tidak dikhususkan kepada penyediaan capaian internet di sekolah, sebaliknya memberi keutamaan kepada kawasan berpenduduk, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman yang masih belum mendapat liputan komunikasi.
“Pemilihan teknologi bersesuaian atau fit for purpose mengambil kira faktor kepadatan penduduk, bentuk muka bumi serta ketersediaan infrastruktur sedia ada,” katanya menjawab soalan Ahli Parlimen Sekijang, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa pada sesi pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Selain itu, projek gentian optik Point of Presence (PoP) bernilai RM4.6 bilion turut dilaksanakan bagi menyediakan infrastruktur internet kepada sekolah, premis kerajaan, kediaman dan komuniti setempat.
Katanya, kemudahan itu meliputi kawasan dalam lingkungan 2.5 hingga tiga kilometer dari lokasi projek.
“Kesemua 677 lokasi PoP Fasa 1 sudah siap dilaksanakan. Daripada jumlah itu, 630 lokasi terletak berhampiran sekolah.
“Bagi Fasa 2, sebanyak 2,985 daripada 3,013 lokasi berhampiran sekolah sudah siap, bersamaan 99.07 peratus,” katanya.
Tambah beliau, baki projek dijangka diselesaikan sepenuhnya menjelang 31 Disember ini.
Menerusi inisiatif PoP, perkhidmatan internet berkelajuan 100Mbps turut ditawarkan pada harga serendah RM49 sebulan.
Katanya, urusan perolehan dan langganan internet di sekolah diuruskan sepenuhnya oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
“Kami hanya boleh sediakan internet sampai ke pagar sekolah, tapi dalam kawasan sekolah, terpulang kepada pihak sekolah dan pihak KPM untuk memilih,” katanya.