Tarif air diselaras berperingkat ambil kira kemampuan rakyat

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad

KUALA LUMPUR, 26 November – Kerajaan melaksanakan pelarasan tarif air secara berperingkat dengan mengambil kira kemampuan rakyat, di samping memperkukuh kecekapan operator dan infrastruktur bekalan air.

RINGKASAN BERITA AI
  • Keupayaan sektor air tidak boleh bergantung pada pelarasan tarif semata-mata.
  • Kecekapan operator dipertingkat melalui penjimatan tenaga, teknologi pam cekap dan pengurusan kos penyelenggaraan.
  • Bantuan bersasar disediakan dengan kerjasama kerajaan negeri dan operator, khususnya untuk golongan berpendapatan rendah serta miskin tegar.
  • TSM bagi Tempoh Pelaksanaan Kedua bermula 1 Ogos 2025 untuk mengimbangi kewangan operator dengan kemampuan rakyat.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan bekalan air negara terus mencukupi, berkualiti dan terjamin untuk rakyat.

“Kemampuan sektor air tidak boleh bergantung kepada pelarasan takrif semata-mata.

“Kerajaan juga memberi penekanan kepada peningkatan kecekapan operator termasuk mengoptimum penggunaan tenaga, penggunaan teknologi pam yang lebih cekap, pengurangan penggunaan bahan kimia dan pengurusan kos penyelenggaraan secara lebih berkesan.

“Pada masa yang sama, kerajaan terus mengambil kira kemampuan rakyat khususnya golongan pendapatan rendah dan miskin tegar melalui mekanisme bantuan bersasar dengan kerjasama kerajaan negeri dan operator air,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Justeru katanya, pendekatan kerajaan adalah untuk membina industri air yang mampan bukan sekadar menaikkan tarif.

Katanya, kerajaan melaksanakan Mekanisme Penetapan Tarif (TSM) bagi Tempoh Pelaksanaan Kedua (TP2) bermula 1 Ogos 2025 bagi mengimbangi keperluan kewangan operator dengan kemampuan rakyat.Jika TSM penuh dilaksanakan, purata tarif air nasional diunjurkan RM2.79 bagi setiap meter padu berbanding RM2.21 bagi setiap meter padu di bawah TSM separa.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen mengenai langkah kerajaan menangani isu tarif air yang masih berada di bawah paras pemulihan kos di kebanyakan negeri.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.