
BANGKOK, 26 November – Tujuh individu cedera, termasuk empat yang dilaporkan berada dalam keadaan kritikal, susulan letupan di sebuah kemudahan penapisan minyak di Bangkok pada Khamis.
- Kebakaran berjaya dipadamkan kira-kira 30 minit selepas kejadian, dan semua unit pengeluaran dihentikan sebagai langkah keselamatan.
- Pelajar sekolah berhampiran dan penduduk sekitar dipindahkan, manakala orang ramai diminta menjauhi kawasan kejadian.
- Asap kebakaran berpotensi membahayakan kesihatan, sementara punca kejadian masih dalam siasatan.
Menurut pihak berkuasa, insiden berkenaan berlaku di kompleks penapisan minyak Phra Khanong di timur Bangkok yang dikendalikan syarikat tenaga Bangchak Corporation, kira-kira 2.45 petang waktu tempatan.
Dalam satu kenyataan, syarikat itu memaklumkan bahawa pihaknya berjaya mengawal dan memadamkan kebakaran sepenuhnya kira-kira 30 minit selepas kejadian, selain menghentikan operasi semua unit pengeluaran sebagai langkah keselamatan.
Letupan berkenaan begitu kuat sehingga menyebabkan pintu bangunan bergegar beberapa kilometer dari lokasi kejadian, manakala api dan kepulan asap hitam tebal dilihat menjulang tinggi ke udara.
Polis memaklumkan bahawa pelajar dari sekolah berhampiran telah dipindahkan, manakala penduduk di kawasan sekitar turut diarahkan meninggalkan kediaman mereka.
Pihak berkuasa Bangkok turut menghantar mesej amaran kecemasan kepada penduduk bagi memaklumkan agar menjauhi kawasan berkenaan demi keselamatan.
Sementara itu, Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul berkata, beliau sedang memantau rapat perkembangan kejadian dan setakat ini keadaan dilaporkan terkawal.
Sementara itu, Pusat Perubatan Kecemasan Erawan memberi amaran bahawa asap daripada kebakaran itu berpotensi membahayakan kesihatan, selain menggesa penduduk di kawasan berhampiran supaya berpindah.
Punca kejadian masih dalam siasatan.-AFP