
NEW YORK, 26 November – Krisis bekalan air dan sanitasi yang semakin buruk di Gaza menyumbang kepada peningkatan kes meningitis, manakala penduduk Palestin di Tebing Barat terus berdepan perpindahan paksa, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Rabu, lapor Xinhua.
- Kes meningitis meningkat mendadak, khususnya dalam kalangan bayi bawah setahun, sementara kapasiti makmal yang terhad melambatkan tindak balas bersasar.
- Perobohan 44 struktur di Khirbet Samra memaksa dua keluarga terakhir, termasuk tujuh kanak-kanak, meninggalkan kediaman mereka.
- Seramai 1,567 penduduk Lembah Jordan diusir tahun ini akibat keganasan pendatang, sekatan akses dan perobohan.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Selasa melaporkan lebih 533 kes meningitis dengan empat kematian berkaitan penyakit itu.
Jumlah kes meningkat dengan mendadak antara pertengahan hingga penghujung Oktober, dengan kebanyakannya membabitkan kanak-kanak berusia bawah setahun.
Secara keseluruhan, pihak berkuasa kesihatan Gaza melaporkan 15 kematian berkaitan meningitis sejak awal 2026.
Pihak berkuasa kesihatan mengaitkan peningkatan kes itu dengan keadaan hidup dan persekitaran yang semakin buruk termasuk kesesakan, kerosakan sistem bekalan air dan pembetungan, kemungkinan pencemaran air minuman serta tahap kebersihan yang rendah.
WHO berkata kapasiti makmal yang terhad turut menyukarkan usaha membezakan meningitis akibat jangkitan virus dengan jangkitan bakteria, sekali gus melambatkan pelaksanaan langkah tindak balas bersasar.
Sementara itu, di Tebing Barat, Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA) memaklumkan bahawa pihak berkuasa Israel pada Ahad merobohkan kesemua 44 struktur yang masih berbaki di penempatan masyarakat Palestin di Khirbet Samra, wilayah Tubas di Lembah Jordan.
Tindakan perobohan itu memaksa dua keluarga terakhir yang menetap di kawasan berkenaan, membabitkan 19 individu termasuk tujuh kanak-kanak meninggalkan kediaman mereka.
Menurut OCHA, kawasan itu kini tidak lagi berpenghuni susulan beberapa siri pengusiran penduduk yang dikaitkan dengan keganasan pendatang haram Israel dan tindakan perobohan.
OCHA berkata seramai 1,567 penduduk di Lembah Jordan terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing setakat tahun ini akibat keganasan pendatang haram Israel, sekatan akses berkaitan serta tindakan perobohan kerana ketiadaan permit pembinaan yang dikeluarkan pihak berkuasa Israel.
Jumlah itu mewakili hampir satu pertiga daripada kira-kira 5,000 penduduk yang terpaksa meninggalkan kediaman mereka di seluruh Tebing Barat dalam tempoh sama.
“PBB sekali lagi menegaskan bahawa rakyat Palestin di seluruh Wilayah Palestin yang Diduduki mesti dilindungi sebagaimana yang diperuntukkan di bawah undang-undang antarabangsa.
“Mereka yang melakukan pelanggaran mesti dipertanggungjawabkan,” menurut OCHA. – BERNAMA-XINHUA