Korea Selatan naikkan kadar faedah, kawal inflasi

Foto AFP

SEOUL, 26 November – Bank pusat Korea Selatan menaikkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas kepada 3.25 peratus, paras tertinggi dalam tempoh dua tahun, bagi mengawal inflasi yang kekal melebihi sasaran dua peratus.

RINGKASAN BERITA AI
  • Unjuran pertumbuhan ekonomi dinaikkan kepada 3.9 peratus tahun ini dan 4.1 peratus pada 2027, didorong eksport cip AI.
  • Eksport Korea Selatan mencecah AS$1 trilion buat kali pertama, susulan lonjakan permintaan semikonduktor untuk sektor AI.
  • Pemulihan penggunaan domestik dijangka beransur-ansur, namun prospek ekonomi bergantung pada sektor semikonduktor dan perkembangan di Timur Tengah.

Keputusan Bank of Korea itu merupakan kenaikan pertama sejak Ogos, ketika indeks harga pengguna mencatat 2.8 peratus bulan lalu. Inflasi teras, yang tidak mengambil kira harga makanan dan tenaga yang tidak menentu, turut berada pada kadar sama.

Bagaimanapun, bank pusat menaikkan unjuran pertumbuhan ekonomi kepada 3.9 peratus tahun ini dan 4.1 peratus pada 2027, didorong eksport cip berkaitan kecerdasan buatan atau AI yang kukuh.

Korea Selatan, yang menempatkan pengeluar cip utama seperti Samsung Electronics dan SK hynix, mengumumkan eksportnya mencecah satu trilion dolar Amerika tahun ini buat pertama kali, hasil lonjakan permintaan semikonduktor dalam sektor AI.

Gabenor Bank of Korea, Shin Hyun-song, berkata pengeluar semikonduktor dijangka memperoleh keuntungan operasi sekitar 700 trilion won tahun ini, menyumbang kira-kira satu perlima pendapatan negara.

Bank pusat turut menjangkakan pertumbuhan eksport dan pelaburan kekal kukuh, manakala peningkatan pendapatan serta perbelanjaan kerajaan akan menyokong pemulihan penggunaan domestik secara beransur-ansur.

Namun, prospek ekonomi masih bergantung kepada perkembangan sektor semikonduktor dan situasi di Timur Tengah, yang turut mempengaruhi harga tenaga serta inflasi.- AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.