Manfaatkan AI kesan maklumat palsu tular di media sosial

Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR, 28 November – Orang ramai digalakkan memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi membantu menyemak kesahihan maklumat yang diterima, khususnya kandungan yang tular menerusi media sosial.

RINGKASAN BERITA AI
  • Meta AI dalam WhatsApp boleh diminta menilai kesahihan mesej atau kandungan sebelum dikongsi.
  • Teknologi AI boleh dimanfaatkan untuk menangkis penyalahgunaan AI.
  • Jangan mudah mempercayai atau menyebarkan maklumat yang belum dipastikan kesahihannya.
  • Ujian Sistem Amaran Awal menerusi MySiren bertujuan membiasakan orang ramai dengan bunyi amaran rasmi.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, kemudahan seperti Meta AI dalam aplikasi WhatsApp boleh digunakan untuk mendapatkan pandangan mengenai kesahihan sesuatu kandungan sebelum dikongsi kepada orang lain.

“Kita kini boleh menggunakan AI untuk menangkis penyalahgunaan AI. Dalam WhatsApp sebenarnya ada satu tab Meta AI di sudut bawah kanan.

“Kita boleh bercakap, forward mesej atau meletakkan sesuatu kandungan dan minta input pandangan daripada Meta AI mengenai kesahihanny,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Zakat Koperasi TNB, di pangsapuri Zamrud, Jalan Klang lama, hari ini.

Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya tidak mudah mempercayai atau menyebarkan maklumat yang belum dipastikan kesahihannya, terutama kandungan yang berpotensi mengelirukan.

Terdahulu, menerusi program anjuran Koperasi TNB dan Yayasan Amal Tenaga, kira-kira 160 keluarga menerima bakul makanan serta bantuan berjumlah RM1,000 kepada tiga surau di Pangsapuri Zamrud dan beberapa pangsapuri berhampiran.

Dalam perkembangan lain, Datuk Seri Fahmi mengingatkan orang ramai supaya peka terhadap ujian Sistem Amaran Awal (EWS) menerusi sistem MySiren yang dilaksanakan di seluruh negara esok (29 November).

Katanya, ujian itu bertujuan untuk membiasakan orang ramai dengan bunyi amaran rasmi supaya mereka dapat mengenal pasti isyarat berkenaan sekiranya berlaku kecemasan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.