PRN Sarawak: Douglas Uggah Embas menang tanpa bertanding

Datuk Amar Douglas Uggah Embas / Foto RTM

SPAOH, 28 November – Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berjaya mempertahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Saban selepas menang tanpa bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tiada calon lain mengemukakan borang pencalonan bagi kerusi DUN Bukit Saban.
  • Keputusan diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Lister Clement Guwie, pada pukul 10.30 pagi di Dewan Masyarakat Spaoh.
  • Douglas Uggah bertekad meneruskan pembangunan Bukit Saban dan memastikan penduduk menikmati peluang ekonomi baharu.

Kemenangan itu disahkan selepas tiada calon lain mengemukakan borang pencalonan bagi kerusi berkenaan.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Bukit Saban, Lister Clement Guwie mengumumkan keputusan itu pada pukul 10.30 pagi di Dewan Masyarakat Spaoh, di sini.

Datuk Amar Douglas Uggah yang juga Ketua Sayap Bumiputera Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) hadir menyerahkan borang pencalonan pada pukul 9.06 pagi.

Mengulas kemenangan tersebut, beliau menegaskan komitmen untuk meneruskan pembangunan di Bukit Saban, selain memastikan penduduk setempat mendapat manfaat daripada peluang ekonomi baharu yang diwujudkan di Sarawak.

“Jadi saya sekali lagi ucap terima kasih kepada semua pengundi saya di Bukit Saban.

“Saya juga berterima kasih kepada pegawai pilihan raya di Bukit Saban yang diketuai Encik Lister kerana menguruskan proses penamaan calon hari ini dengan lancar.

“Terima kasih juga kepada pegawai keselamatan yang membantu memastikan tiada kejadian tidak diingini berlaku,” katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Penamaan Calon DUN berkenaan, di sini.

Beliau turut menyifatkan kepimpinan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg sebagai penting dalam memacu transformasi ekonomi negeri menerusi pelbagai program pembangunan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.