PRN Johor: Fahmi seru ibu bapa ajak anak pulang mengundi

Datuk Fahmi Fadzil/ RTM

JOHOR BAHRU, 7 Julai- Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil menyeru rakyat Johor yang berada di luar negeri supaya pulang mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 yang berlangsung Sabtu ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ibu bapa disaran mengajak anak-anak di perantauan kembali pulang bagi menunaikan tanggungjawab mengundi.
  • Fahmi menyeru majikan terutama sektor makanan dan minuman memberi ruang atau cuti kepada pekerja pulang mengundi.
  • Diharapkan lebih 60 peratus keluar mengundi, ini penting bagi menentukan pilihan wakil untuk empat hingga lima tahun.
  • Tiket ETS ke Johor habis terjual dan KTMB menggunakan kapasiti maksimum gerabak untuk menampung penumpang.

Beliau berkata ibu bapa disaran memainkan peranan mengajak anak-anak yang berada di perantauan supaya kembali menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

Menteri Komunikasi itu turut menyeru majikan memberi ruang atau cuti kepada pekerja bagi membolehkan mereka pulang mengundi.

“Kita harap lebih 60 peratus (keluar mengundi). Rata-rata apabila saya bercakap dengan golongan ibu bapa, mereka memaklumkan telah meminta anak-anak pulang untuk mengundi.

“Ini penting bukan sahaja untuk kita melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai warganegara, tetapi juga sebagai rakyat dan bangsa Johor untuk membuat pilihan bagi tempoh empat atau lima tahun akan datang,” katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu, Datuk Fahmi memaklumkan tiket Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) bagi laluan ke Johor sempena hari pengundian telah habis terjual.

Beliau berkata Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) turut menggunakan kapasiti maksimum gerabak sedia ada bagi menampung jumlah penumpang yang pulang ke Johor.

PRN Johor ke-16 menyaksikan 172 calon bertanding bagi merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan hari pengundian ditetapkan pada 11 Julai.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.