
TANJUNG BIDARA, 31 Oktober – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa semua parti yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 melaksanakan kempen tanpa sebarang provokasi.
- Semua parti digesa laksanakan kempen tanpa provokasi, tiada unsur fitnah atau kaedah tidak beretika.
- Kerjasama semua pihak penting untuk memastikan tempoh kempen 14 hari berlangsung lancar dan tenang.
- Diharap semua pihak mengekalkan komitmen dan mengelakkan sebarang tindakan provokatif sepanjang tempoh berkempen.
Menurutnya, kerjasama semua pihak itu penting dalam memastikan tempoh kempen selama 14 hari berlangsung dengan lancar dan tenang.
“Selari dengan hasrat Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf yang mahu kempen PRN Melaka berlangsung dalam suasana tenang serta tiada elemen berunsur fitnah atau menggunakan kaedah yang tidak beretika.
“Perkara ini turut dipersetujui Pakatan Harapan. Justeru, saya berharap semua pihak dapat mengekalkan komitmen ini serta mengelakkan sebarang tindakan seumpama itu sepanjang tempoh berkempen,” katanya.
Beliau ditemui media selepas menghadiri penamaan calon di Dewan Datuk Kapten Bersara Hj Ab Karim Kompleks Japerun di sini hari ini.
Kehadiran Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengiringi Datuk Seri Dr Ab Rauf sebagai calon BN DUN Tanjung Bidara N02 ke pusat penamaan calon berkenaan.