
PAYA RUMPUT, 31 Oktober – Hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan akan dimanfaatkan sebaiknya dalam menyampaikan suara dan pandangan masyarakat Paya Rumput, kata calon Pakatan Harapan (PH) DUN N.13 Paya Rumput, Datuk Azman Abidin.
- Memanfaatkan pengalaman untuk mempermudah urusan dan memenuhi keperluan pembangunan penduduk Paya Rumput.
- Menangani keperluan pembangunan kawasan yang bercampur kampung dan separa bandar.
- PH akan mengumumkan manifesto tidak lama lagi; mengharapkan kepercayaan pengundi Melaka.
- Kempen dilaksanakan aman dan berhemah, fokus pada pencapaian sedia ada serta perancangan akan datang.
Beliau yang juga Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata hubungan itu penting bagi membantu memenuhi keperluan pembangunan serta kepentingan penduduk di kawasan berkenaan.
Menurutnya, Paya Rumput mempunyai keperluan pembangunan tersendiri memandangkan kawasan tersebut merangkumi persekitaran kampung dan separa bandar.
“Pengalaman yang saya miliki akan dimanfaatkan bagi membantu mempermudahkan segala urusan serta memenuhi keperluan penduduk Paya Rumput.
“Manifesto pula, PH akan mengumumkannya dalam masa terdekat. Jadi, saya berharap rakyat Melaka boleh memberi kepercayaan kepada calon-calon PH untuk menang kali ini,” katanya.
Beliau ditemui selepas pengumuman rasmi calon DUN Paya Rumput di Ballroom Stadium Hang Jebat di sini.
Menyentuh mengenai strategi berkempen, beliau bersama pasukan akan memastikan kempen dilaksanakan dalam suasana aman dan berhemah.
“Tumpuan akan diberikan kepada penyampaian mesej mengenai pencapaian yang telah dilaksanakan serta perancangan yang bakal dikemukakan kepada pendudukan,” katanya.
Tempoh berkempen secara rasmi bermula sebaik penamaan calon tamat, sehingga 11.59 malam, 13 November.