
Pengarah Bahagian Program Radio RTM, Saifuzzaman Yusop (tengah) bersama penerima bantuan dalam Program Limpahan Cahaya Minnal.fm di Klang hari ini/Foto RTM
KLANG, 31 Oktober – Stesen radio RTM, Minnal.fm menyantuni 28 anak yatim daripada Pusat Jagaan Anak-Anak Yatim Sai Pandian menerusi Program Limpahan Cahaya Minnal.fm sempena sambutan Deepavali.
- Penerima menerima sumbangan kasut, pakaian dan wang tunai untuk menceriakan sambutan perayaan mereka.
- Inisiatif mencerminkan komitmen RTM mendekati masyarakat dan menyemai harapan untuk masa depan lebih baik.
- Program menyasarkan golongan B40 dan penghuni rumah kebajikan yang kurang berkemampuan.
- Acara dimeriahkan persembahan artis muzik Tamil, barisan pelakon C4Cinta serta penyampai, sambil merakam penghargaan kepada pendengar setia.
Menerusi program itu, penerima menerima sumbangan berupa kasut, pakaian dan wang tunai bagi membantu menceriakan sambutan perayaan mereka.
Pengarah Bahagian Program Radio RTM, Saifuzzaman Yusop berkata, inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen RTM untuk mendekati masyarakat menerusi program yang memberi manfaat kepada komuniti.
“Ini merupakan program yang membawa sinar kegembiraan kepada masyarakat, khususnya anak-anak sekolah.
“Kita berharap usaha ini dapat diteruskan demi membawa harapan dan masa depan yang lebih baik,” katanya pada Program Limpahan Cahaya Minnal.fm di Klang hari ini.
Sementara itu, Pengurus Minnal.fm, Kumaran Subramaniam berkata, program itu menyasarkan golongan B40 dan penghuni rumah kebajikan yang kurang berkemampuan.
“Program Limpahan Cahaya ini berkonsepkan usaha menyemai harapan, khususnya kepada golongan yang kurang berkemampuan dan tidak berpeluang meraikan Deepavali seperti orang lain.
“Fokus utama kita adalah golongan B40 supaya mereka juga dapat merasai kemeriahan sambutan perayaan ini,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan pendengar setia Minnal.fm, atas sokongan terhadap penganjuran program berkenaan.
Program itu turut dimeriahkan dengan persembahan artis muzik Tamil Malaysia termasuk Krish K, Dhaya K, Abishekappriyan dan Raajasree, selain barisan pelakon filem C4Cinta serta penyampai Minnal.fm.