Malaysia terima pengiktirafan Arab Saudi menerusi pengurusan dam, korban

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 21 November – Malaysia terus menerima pengiktirafan Kerajaan Arab Saudi menerusi Project Utilization of Hady and Adahi (Adahi) sebagai penghargaan terhadap komitmen dan kerjasama Lembaga Tabung Haji (TH) dalam pengurusan ibadah korban serta dam bagi musim haji tahun ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan Arab Saudi perkenal ketetapan baru: pembayaran dam mesti diselesaikan sebelum jemaah berangkat ke Tanah Suci.
  • TH menyelaraskan pembayaran dam awal untuk memastikan urusan berjalan lancar dan sistematik.
  • Langkah pembayaran awal membolehkan jemaah memberi tumpuan penuh kepada pelaksanaan ibadah haji.
  • TH menasihatkan bakal jemaah 2027/1448 bagi Tamattu' dan Qiran supaya merancang kewangan serta melunaskan dam awal.

TH dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, pengiktirafan itu diberikan atas kerjasama erat agensi berkenaan bersama pihak Adahi, sebuah entiti di bawah seliaan Suruhanjaya Diraja bagi Bandaraya Makkah dan Tempat-Tempat Suci dalam memastikan urusan pembayaran dam dilaksanakan secara teratur serta sistematik.

Menurut kenyataan itu, Kerajaan Arab Saudi telah memperkenalkan ketetapan baharu bagi musim haji tahun ini yang mewajibkan pembayaran dam diselesaikan sebelum jemaah berlepas ke Tanah Suci, berbanding amalan terdahulu yang membenarkan urusan tersebut dibuat ketika berada di sana atau selepas menyempurnakan ibadah haji.

“Pelaksanaan pembayaran dam lebih awal ini telah diselaraskan oleh TH dengan kerjasama pihak Adahi bagi memastikan proses pembayaran dan pengurusan dam berjalan lancar, sekali gus memudahkan urusan jemaah serta membolehkan mereka memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pelaksanaan ibadah haji,” katanya.

Tambah kenyataan itu, kejayaan tersebut turut mencerminkan kesiapsiagaan dan komitmen TH dalam mematuhi setiap perubahan dasar serta keperluan pengurusan haji oleh Kerajaan Arab Saudi demi menjaga kebajikan jemaah Malaysia.

Sehubungan itu, TH menasihatkan bakal jemaah haji bagi musim 2027/1448 yang bakal mengerjakan haji Tamattu’ dan Qiran supaya membuat perancangan kewangan lebih awal bagi melunaskan bayaran dam sebelum berangkat ke Tanah Suci.

Langkah berkenaan penting bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan ditetapkan pihak berkuasa Arab Saudi, selain melancarkan urusan jemaah agar dapat beribadah dengan lebih tenang dan teratur.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.