
KUALA LUMPUR, 22 November – Lebih 50,000 pelajar menerima manfaat menerusi Program Titian Kasih Mega anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis sejak diperkenalkan pada 2007.
- Program Titian Kasih Mega memupuk sahsiah, kepimpinan dan jati diri pelajar Tingkatan 1 hingga 3 di sekolah menengah Perlis.
- Modul merangkumi keselamatan awam, pencegahan gejala sosial, kesihatan, hala tuju masa depan dan kesedaran kelestarian alam sekitar.
- Pendekatan bertujuan membentuk generasi muda berfikiran kritis, bertanggungjawab dan mampu menyumbang kepada pembangunan masyarakat.
- Majlis amal ulang tahun YTSP menyatukan dermawan, sektor korporat dan rakan strategik untuk memperluas kerjasama serta peluang pendidikan dan kesejahteraan komuniti.
Program yang dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perlis itu memberi tumpuan kepada pembangunan sahsiah, kepimpinan dan jati diri pelajar Tingkatan Satu hingga Tingkatan Tiga di seluruh sekolah menengah di negeri berkenaan.
Selain aspek akademik, pengisiannya merangkumi keselamatan awam, pencegahan gejala sosial, kesihatan, hala tuju masa depan serta kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar.
Pendekatan itu bertujuan membentuk generasi muda yang berfikiran kritis, bertanggungjawab dan mampu menyumbang kepada pembangunan masyarakat.
Pelaksanaan program berkenaan juga pernah diperluas ke beberapa daerah di Sabah, termasuk Tawau, Kudat, Sandakan dan Semporna, selain Melaka.
Pencapaian tersebut antara perkara yang diketengahkan pada Majlis Malam Amal YTSP Perlis 2026 bersempena ulang tahun ke-40 penubuhan yayasan itu, di sini, semalam.
Majlis diserikan dengan keberangkatan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid.
Turut berangkat, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Pengerusi YTSP Perlis serta Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Penganjuran majlis itu turut menjadi platform menghimpunkan golongan dermawan, sektor korporat dan rakan strategik bagi memperluas jaringan kerjasama serta menggalakkan penyertaan lebih banyak pihak dalam usaha pembangunan sosioekonomi rakyat Perlis.
Fokus terarah kepada inisiatif memperluas peluang pendidikan, meningkatkan kesejahteraan komuniti serta membantu golongan memerlukan.