
PUTRAJAYA, 22 November – Pemain badminton para negara, Cheah Liek Hou menyasarkan kembali ke gelanggang seawal Januari ini selepas mengalami kecederaan paha kiri paling serius sepanjang kerjayanya.
- Mengalami koyakan 10 sentimeter pada tendon myotendinous beberapa hari sebelum berlepas ke Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026.
- Doktor menjangkakan tempoh pemulihan antara tiga hingga enam bulan.
- Beliau dan jurulatih sasarkan pemulihan lebih awal bagi kelayakan Sukan Paralimpik Los Angeles 2028 bermula April.
- Beliau berhasrat menyertai Kejohanan Antarabangsa Badminton Para Indonesia 2026 di Solo untuk mengekalkan mata ranking.
Pemeriksaan susulan bersama doktor Institut Sukan Negara (ISN) baru-baru ini menunjukkan perkembangan positif terhadap proses pemulihannya.
Buat masa ini, beliau hanya menjalani latihan bahagian atas badan, latihan kemahiran ringan serta fisioterapi harian berikutan pergerakan paha kirinya yang masih terbatas.
Liek Hou berkata, kecederaan berkenaan memberi cabaran besar terhadap persiapannya.
“Ini kali memang sangat mencabarlah bagi saya sebab saya tak pernah mengalami kecederaan yang sebegitu seriuslah bagi saya. Sepanjang kerjaya saya, ini yang paling teruk,” katanya.
Kecederaan melibatkan koyakan sepanjang 10 sentimeter pada bahagian ‘tendon myotendinous’ itu berlaku beberapa hari sebelum beliau dijadual berlepas ke Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026.
Jelasnya lagi, doktor menjangkakan tempoh pemulihannya antara tiga hingga enam bulan.
Bagaimanapun, beliau bersama jurulatih menetapkan sasaran pemulihan lebih awal bagi memastikan persiapan menghadapi fasa kelayakan Sukan Paralimpik Los Angeles 2028 yang bermula April depan tidak terjejas.
“Saya berharap kecederaan ni boleh pulih secepat mungkinlah ya, sebelum bulan empat sebab bulan empat tu adalah permulaan untuk kelayakan ke Sukan Paralimpik,” katanya.
Dalam pada itu, Liek Hou memaklumkan beliau tetap berhasrat menyertai Kejohanan Antarabangsa Badminton Para Indonesia 2026 di Solo, Indonesia, bulan depan.
Ia membabitkan acara perseorangan dan beregu untuk mengekalkan mata ranking kelayakan ke Sukan Paralimpik Los Angeles 2028.