
BALING, 28 November – Polis giat memburu dalang utama sindiket penyeludupan dadah rentas sempadan menggunakan aset Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) selepas suspek berjaya meloloskan diri ketika operasi tangkapan dijalankan.
- Identiti ketua sindiket penyeludupan dadah menggunakan aset TUDM sudah dikenal pasti, termasuk peranan setiap ahli rangkaiannya.
- Siasatan tertumpu kepada mengesan dalang dan menelusuri sumber bekalan, yang sebahagian besarnya dipercayai melalui laluan Segi Tiga Emas.
- Seramai 18 suspek ditahan, termasuk lapan pegawai dan anggota TUDM; kawalan keselamatan di lokasi strategik turut dipertingkat.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, identiti suspek yang dipercayai mengetuai sindiket itu sudah dikenal pasti, termasuk peranan setiap ahli dalam rangkaian berkenaan.
Beliau berkata, siasatan kini memberi tumpuan kepada usaha mengesan dalang terbabit selain menelusuri sumber bekalan dadah yang disalurkan ke negara ini.
“Apabila kita menjalankan siasatan, kita mengenal pasti pihak yang bertindak sebagai pembiaya, perancang utama, pengangkut (transporter), orang tengah (runner) serta individu yang berperanan menyelaras jaringan dengan pelbagai pihak. Semua peranan itu sudah dikenal pasti, sebab itu kita tahu siapa ketua sindiket berkenaan.
“Apabila siasatan menjurus kepada sumber bekalan, tidak sukar untuk kita menjangkakan bahawa sebahagian besar bekalan dadah ke negara ini masuk melalui laluan Segi Tiga Emas (Golden Triangle),” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Jelajah Wira MADANI dan Santuni MADANI Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Masjid Al-Hasaniah, Kampung Rambong Pulai, Kupang, Baling, hari ini.
Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan seorang lagi pegawai TUDM bersama empat individu awam ditahan dalam operasi khas JSJN Bukit Aman.
Penahanan itu menjadikan jumlah keseluruhan suspek yang diberkas seramai 18 orang, termasuk lapan pegawai dan anggota TUDM.
Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Seri Saifuddin berkata prosedur kawalan serta pemeriksaan keselamatan di lokasi strategik berkaitan keselamatan turut dipertingkatka.
Langkah itu bagi mengelakkan kemudahan terbabit disalahgunakan untuk kegiatan jenayah, termasuk penyeludupan dadah.