
KUALA LUMPUR, 21 November – Universiti Teknologi MARA (UiTM) disaran mengambil langkah proaktif menjadi perintis kepada model ‘universiti usahawan TVET’ dalam usaha merapatkan jurang antara inovasi akademik dan keperluan pasaran.
- Gandingkan kepakaran pelajar FBM dengan kemahiran teknikal pelajar TVET supaya inovasi kampus dapat dibawa terus ke pasaran.
- Masukkan projek industri sebenar ke dalam pembelajaran untuk melatih graduan menjadi pemimpin industri dan pembawa penyelesaian kos.
- Pendekatan praktikal dan pendedahan kepada senario sebenar selaras dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026-2035.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata matlamat itu boleh dicapai dengan menggandingkan kepakaran pelajar Fakulti Pengurusan Perniagaan (FBM) dan kemahiran teknikal pelajar pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET).
Menurut beliau, penggabungan elemen pengurusan dan kemahiran teknikal itu akan membolehkan hasil inovasi dari kampus dibawa terus ke pasaran, sekali gus meletakkan graduan di barisan hadapan industri negara.
“Harapan saya supaya fakulti ini membawa projek sebenar industri ke dalam pembelajaran. Pendekatan ini boleh menggerakkan cadangan supaya UiTM menjadi perintis universiti usahawan TVET.
“Malah, saya harap graduan daripada fakulti ini boleh turun ke bawah dan menterjemahkan berapa banyak penjimatan yang dapat dilakukan serta meyakinkan industri untuk menjadi pelanggan pertama kita apabila kos pengeluaran dapat dikurangkan,” katanya.
Tambah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid, pendekatan praktikal dan pendedahan kepada senario sebenar industri itu selaras dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026-2035
Beliau berucap demikian selepas hadir ke Majlis Makan Malam Ulang Tahun ke-70 FBM UiTM Sempena Ulang Tahun ke-70 Legasi Terus Gemilang di sini.
Hadir sama, Presiden Persatuan Alumni Fakulti Perniagaan dan Pengurusan UiTM Datuk Rosthman Ibrahim.