
KUALA LUMPUR, 21 November – Seramai 70 peserta berjaya menamatkan program Certified Officer in Quality Assurance of Higher Education (CQA) 2026, sekali gus memperkukuh profesionalisme jaminan kualiti dalam ekosistem pendidikan tinggi negara.
- Program CQA membangunkan pegawai jaminan kualiti yang berpengetahuan, berintegriti dan profesional untuk menterjemah standard kepada amalan terbaik.
- CQA membentuk individu berfikir strategik, membuat penilaian profesional dan menjadi pemangkin budaya kualiti di institusi.
- MQA target 300 graduan CQA menjelang 2030 serta kukuhkan jaminan kualiti melalui ODL, TVET, micro-credentials, APEL dan MyABC.
Pengerusi Majlis Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Emeritus Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang berkata, program berkenaan merupakan platform pembangunan kompetensi untuk melahirkan pegawai jaminan kualiti yang berpengetahuan, berintegriti dan profesional.
“Peserta program itu mampu menterjemah pengetahuan berkaitan standard dan prosedur jaminan kualiti kepada amalan terbaik serta penambahbaikan berterusan di institusi masing-masing.
“Aspirasi menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi global memerlukan sistem jaminan kualiti yang kukuh, progresif dan diyakini di peringkat antarabangsa, khususnya dalam mendepani perubahan landskap pendidikan tinggi serta keperluan industri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Graduasi Program CQA 2026, di Sepang, hari ini yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof. Datuk Dr.Mohammad Shatar Sabran, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Jaminan Kualiti) MQA, Prof. Ts. Dr. M. Iqbal Saripan dan Anggota Majlis MQA, Datuk P. Kamalanathan.
Sementara itu Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar berkata, program CQA yang diperkenalkan pada 2020 telah menerima sambutan menggalakkan dengan penyertaan seramai 686 peserta sehingga tahun ini.
“Daripada jumlah itu, seramai 194 peserta berjaya menamatkan program berkenaan dan bergelar graduan CQA, termasuk 70 graduan yang diraikan bagi
tahun 2026.
“Program ini bukan sahaja memberikan pengetahuan berkaitan standard, dasar dan mekanisme jaminan kualiti, malah bertujuan membentuk individu yang mampu berfikir secara strategik, membuat penilaian profesional serta menjadi pemangkin budaya kualiti di institusi masing-masing.
“Graduan CQA merupakan sebahagian daripada ekosistem profesional MQA yang mempunyai tanggungjawab bersama untuk menyokong organisasi, memeliharakredibiliti serta menyumbang kepada penambahbaikan berterusan,” katanya.
Sehubungan dengan itu, MQA terus memperkukuh pendekatan jaminan kualiti menerusi pelbagai inisiatif strategik termasuk pembelajaran terbuka dan jarak jauh (ODL), pengukuhan akreditasi program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), micro-credentials, Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL) serta Malaysian Academic Bank of Credits (MyABC).
Program itu bukan sahaja memberikan pengetahuan berkaitan standard, dasar dan mekanisme jaminan kualiti, malah bertujuan membentuk individu yang mampu berfikir secara strategik, membuat penilaian profesional serta menjadi pemangkin budaya kualiti di institusi masing-masing.
Dalam pada itu, MQA menyasarkan untuk melahirkan seramai 300 graduan CQA menjelang 2030 bagi menyokong pelaksanaan dan pemerkasaan jaminan kualiti di seluruh institusi pendidikan tinggi (IPT) negara.