
KUALA LUMPUR, 21 November -Lebih 5,000 pengunjung hadir memeriahkan Fiesta Rakan Muda Peringkat Kebangsaan 2026 yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini di LaLaport Bukit Bintang City Centre (BBCC), di sini.
- Fiesta Rakan Muda Peringkat Kebangsaan 2026 kemuncak siri sejak April, merekodkan 34,100 penyertaan.
- Menjadi platform memperkukuh potensi, bakat dan kreativiti belia melalui aktiviti pembangunan diri dan 10 gaya hidup Rakan Muda.
- Menekankan kesedaran menentang buli melalui kempen Antibuli PekaRasa: Henti Buli, Mula Peduli yang diketengahkan di fiesta.
Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, penganjuran di peringkat kebangsaan itu merupakan kemuncak siri Fiesta Rakan Muda yang dilaksanakan di seluruh negara sejak April lalu, dengan merekodkan sebanyak 34,100 penyertaan.
“Fiesta Rakan Muda Peringkat Kebangsaan 2026 menjadi platform memperkukuh potensi, bakat dan kreativiti golongan belia menerusi pelbagai aktiviti pembangunan diri dan kemahiran sekali gus melahirkan belia yang berdaya saing.
“Fiesta anjuran Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) itu menampilkan 10 gaya hidup Rakan Muda merangkumi bidang sukan, seni, muzik, teknologi digital, keusahawanan dan kesukarelawanan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau penganjuran fiesta berkenaan di LaLaport Bukit Bintang, di ibu negara.
Katanya, fiesta berkenaan memberi peluang kepada golongan belia untuk menonjolkan bakat dan kebolehan masing-masing, sekali gus menarik minat lebih ramai golongan muda menyertai inisiatif di bawah program Rakan Muda serta agensi kerajaan lain yang turut serta.
Dalam perkembangan sama, beliau turut menekankan kepentingan meningkatkan kesedaran bagi membendung kejadian buli dalam kalangan belia.
Sehubungan itu, kempen Antibuli PekaRasa: Henti Buli, Mula Peduli yang dilancarkan beliau pada Julai lalu turut diketengahkan menerusi fiesta berkenaan.
Kempen itu merupakan gerakan nasional bawah inisiatif Rakan Muda.
“Kita memberikan satu penerangan kepada anak muda dan anak muda itu sendiri cakna berkaitan dengan buli dan ada rasa atau hasrat bersama untuk menghentikan kejadian buli bukan sahaja di sekolah tetapi juga ditempat kerja atau pun sesama kawan,” jelasnya.