- Warga asing disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen: tiada dokumen sah, penyalahgunaan permit kerja, dan tinggal melebihi tempoh dibenarkan.
- SSM keluarkan enam kompaun bernilai RM16,500; Jabatan Imigresen keluarkan lima saman saksi kepada pemilik premis.
- Operasi beri tumpuan kepada majikan menggajikan warga asing tanpa kebenaran sah dan tindakan lanjut terhadap pemilik premis.
- Sejak 1 Jan hingga 19 Nov: 12,471 operasi; lebih 160,000 diperiksa; >75,000 ditahan; >52,000 dihantar pulang; ~25,000 menunggu penghantaran.

SHAH ALAM, 21 November – Seramai 489 warga asing ditahan menerusi 831 pemeriksaan yang dilakukan ratusan anggota penguat kuasa di sekitar Jalan Mamor, Taman Sri Muda di sini kira-kira 11.00 pagi tadi.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Lokman Effendi Ramli berkata, individu yang ditahan disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen, termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, menyalahgunakan permit kerja serta tinggal melebihi tempoh dibenarkan, sebelum dibawa ke depot imigresen untuk tindakan lanjut.
“Selain itu, operasi kali ini turut mengesan kes penyalahgunaan permit kerja, termasuk pemegang permit sektor pembinaan yang didapati bekerja di restoran.
“Dalam operasi sama, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mengeluarkan enam kompaun berjumlah RM16,500, manakala Jabatan Imigresen mengeluarkan lima saman saksi kepada pemilik premis supaya hadir ke Bahagian Penguatkuasaan bagi membantu siasatan.
“Operasi ini turut memberi tumpuan kepada majikan yang menggajikan warga asing tanpa kebenaran yang sah,” katanya dalam sidang media selepas operasi penguatkuasaan bersepadu di Taman Sri Muda di sini hari ini.
Operasi berkenaan diketuai Jabatan Imigresen Selangor dengan bantuan beberapa agensi strategik termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Gerakan Am (PGA), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).
Dalam pada itu, Datuk Lokman Effendi memaklumkan bahawa sebanyak 12,471 operasi penguatkuasaan telah dilaksanakan di seluruh negara bagi tempoh 1 Januari hingga 19 November tahun ini.
Hasil operasi berkenaan, lebih 160,000 warga asing telah diperiksa, dengan lebih 75,000 daripadanya ditahan atas pelbagai kesalahan bawah Akta Imigresen, manakala lebih 52,000 telah dihantar pulang ke negara asal selepas menjalani hukuman.
Sementara itu baki kira-kira 25,000 individu pula sedang menunggu proses penghantaran pulang selepas menjalani hukuman, termasuk penjara atau denda, tertakluk kepada penyediaan dokumen perjalanan dan tiket oleh pihak berkaitan.