ACL2: Kuching City benam Phnom Penh Crown 3-0

Foto BERNAMA

KUCHING, 26 November – Kuching City FC mencatat kemenangan meyakinkan apabila menundukkan kelab Kemboja, Phnom Penh Crown FC 3-0 pada aksi kelima Kumpulan H saingan Liga Juara-Juara Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2 (ACL2) di Stadium Taha Ariffin, malam ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Safawi Rasid membuka jaringan pada minit ke-31, memberikan Kuching City kelebihan sebelum rehat.
  • Jerome Mpacko Etame dan Dylan Halls menambah gol pada babak kedua untuk melengkapkan kemenangan 3-0.
  • Kuching City mengumpul tujuh mata dan mengukuhkan peluang mara ke pusingan 16 terbaik.

Skuad kendalian Aidil Sharin Sahak itu membuka jaringan menerusi Safawi Rasid pada minit ke-31, sekali gus membawa kelebihan 1-0 ke bilik persalinan.

Pasukan pelawat meningkatkan asakan pada babak kedua untuk mencari gol penyamaan, namun benteng pertahanan tuan rumah berjaya mengekang ancaman pasukan pelawat.

Skuad ‘The Cats’ kemudian menggandakan kelebihan menerusi Jerome Mpacko Etame pada minit ke-74 sebelum Dylan Halls melengkapkan kemenangan 3-0 dengan jaringan pada minit ke-90.

Keputusan itu menyaksikan Kuching City berada di posisi kedua kumpulan dengan mengumpul tujuh mata selepas lima perlawanan, sekali gus mengukuhkan kedudukan dalam persaingan untuk mara ke pusingan 16 terbaik.

Meskipun tewas, Phnom Penh Crown kekal di kedudukan teratas dengan sembilan mata, manakala kelab Korea Selatan Gangwon FC ketiga dengan tujuh mata dan Kitchee SC dari Hong Kong tercorot dengan lima mata.

Kuching City akan bertandang ke Hong Kong untuk bertemu Kitchee SC pada aksi terakhir Kumpulan H, 3 Disember ini.

Dua pasukan teratas setiap kumpulan akan layak ke pusingan 16 terbaik ACL2. – BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.