Sinner terlepas Terbuka Australia

Jannik Sinner tidak beraksi tidak beraksi Terbuka Australia akibat kecederaan lutut / Foto AFP

MELBOURNE, 26 November – Pemain tenis nombor dua dunia, Jannik Sinner, disahkan tidak akan menyertai Terbuka Australia pada Januari depan ketika menjalani pemulihan selepas pembedahan lutut kanan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sinner menjalani pembedahan di Finland selepas kecederaan lututnya tidak menunjukkan perkembangan seperti diharapkan.
  • Beliau tidak beraksi sejak menjuarai Wimbledon buat kali kedua pada Julai.
  • Andrew Abdo berkata Sinner berharap dapat kembali beraksi di Terbuka Australia 2028.
  • Sebelum kecederaan, Sinner meraih lima gelaran Masters 1000 dan kejuaraan Wimbledon; Alexander Zverev kini mengambil alih kedudukan nombor satu dunia.

Pemain Itali itu, yang menjuarai Grand Slam pembuka musim pada 2024 dan 2025, menjalani pembedahan di sebuah klinik di Finland selepas kecederaan lututnya tidak menunjukkan perkembangan seperti diharapkan.

Sinner tidak beraksi sejak menjuarai Wimbledon buat kali kedua pada Julai, sekali gus menimbulkan keraguan mengenai penyertaannya di Melbourne Park.

Ketua Tennis Australia, Andrew Abdo, berkata pihaknya telah berhubung secara berkala dengan pasukan Sinner dan mengesahkan pemain itu tidak akan menyertai kejohanan berkenaan.

Beliau berkata, Sinner berharap dapat kembali beraksi di Terbuka Australia 2028, selain mendoakan pemulihan segera pemain itu.

Sinner sebelum ini mencatat musim cemerlang dengan meraih lima gelaran Masters 1000 serta kejuaraan Wimbledon sebelum kecederaan lutut menghalang kemaraannya.

Dalam ketiadaannya, Alexander Zverev mengambil alih kedudukan nombor satu dunia.

Sinner berkata beliau dan pasukannya sebelum ini mencuba pelbagai kaedah rawatan tanpa pembedahan, namun lututnya tidak menunjukkan perkembangan yang diharapkan.

Pembedahan kecil dilakukan bagi memperbaiki keadaan jalur iliotibial pada lutut kanannya.

Sinner memenangi gelaran Grand Slam pertamanya di Terbuka Australia 2024 selepas menewaskan Daniil Medvedev dalam lima set, sebelum mempertahankan gelaran itu pada 2025 dengan menewaskan Zverev.

Beliau tersingkir di separuh akhir edisi tahun ini kepada Novak Djokovic, yang kemudian tewas kepada Carlos Alcaraz dalam final.

Terbuka Australia dijadual bermula 17 Januari.- AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.