Ekonomi MADANI: Kestabilan ekonomi dan pelaburan antara pencapaian utama

 

RINGKASAN BERITA AI
  • Kesinambungan dasar kerajaan membantu mengekalkan keyakinan pelabur dalam persekitaran global yang mencabar.
  • Kos sara hidup kekal sebagai cabaran utama, sementara usaha meningkatkan gaji memerlukan sokongan sektor swasta.
  • Peralihan kepada ekonomi berteknologi tinggi dan bernilai tambah penting untuk mewujudkan pekerjaan berkualiti serta meningkatkan daya saing negara.
Ketua Pegawai Eksekutif ISRA Associates, Prof. Madya Mohamed Eskandar Shah Mohd Rasid

KUALA LUMPUR, 26 November – Kestabilan ekonomi, pengukuhan nilai ringgit serta peningkatan pelaburan khususnya dalam sektor teknologi antara pencapaian positif sepanjang empat tahun pelaksanaan agenda Ekonomi MADANI.

Ketua Pegawai Eksekutif ISRA Associates, Prof. Madya Mohamed Eskandar Shah Mohd Rasid berkata, kesinambungan dasar kerajaan membantu mengekalkan keyakinan pelabur, meski dalam persekitaran global yang mencabar.

“Dalam tempoh empat tahun ini, kita dapat melihat kestabilan ekonomi dari segi prestasi angka dan pengukuhan ringgit yang banyak membantu, khususnya ketika negara berdepan persekitaran global yang mencabar susulan konflik geopolitik.

“Selain itu, kemasukan pelaburan yang tinggi, terutama dalam sektor teknologi, turut menjadi antara perkembangan positif,” katanya selepas menjadi tetamu program Biz Malaysia, di Angkasapuri Kota Media.

Bagaimanapun, beliau berpandangan isu kos sara hidup masih menjadi cabaran utama yang perlu diberi perhatian bagi memastikan manfaat pembangunan ekonomi dapat dinikmati secara lebih menyeluruh.

Katanya, usaha meningkatkan gaji perlu disokong sektor swasta, selain mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing melalui pelaburan dalam teknologi dan pengambilan lebih ramai tenaga kerja tempatan.

Beliau turut menegaskan keperluan mempercepat peralihan kepada ekonomi baharu berasaskan teknologi tinggi dan aktiviti bernilai tambah bagi mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti serta menawarkan pendapatan lebih baik kepada rakyat.

Menurutnya, meskipun proses peralihan itu memerlukan penyesuaian termasuk latihan semula tenaga kerja, langkah itu penting bagi meningkatkan daya saing ekonomi negara untuk jangka panjang.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.