
KUALA LUMPUR, 26 November – Kegiatan seorang lelaki tempatan yang dipercayai aktif mengedar dadah di sekitar Tumpat dan Pasir Mas terbongkar selepas ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) di Sekat Pintas Serongga, Rantau Panjang, semalam.
- PGA merampas 525 pil yaba, lima telefon bimbit, wang tunai RM248 dan sebuah kereta; keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM38,208.
- Suspek positif dadah dan dipercayai mendapatkan bekalan daripada lelaki warga Thailand di Takbai untuk dijual di Tumpat serta Pasir Mas.
- Suspek dan barang rampasan diserahkan kepada IPD Pasir Mas; kes disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, suspek berusia 29 tahun itu ditahan kira-kira pukul 2 petang bersama 525 biji pil yaba ketika memandu sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan.
“Pemeriksaan di belakang kenderaan suspek menemukan sebuah beg kain uncang hitam berisi pil yaba dan sebuah beg silang hitam mengandungi beberapa barangan lain.
“Polis turut merampas lima telefon bimbit, wang tunai RM248, sebuah buku nota kecil, dua beg silang dan sebuah kereta,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM38,208.
Katanya, ujian air kencing mendapati suspek positif dadah.

Hasil siasatan awal mendapati suspek mendapatkan bekalan pil yaba daripada seorang lelaki warga Thailand di Takbai.
Bekalan terakhir sebanyak 2,000 biji pil yaba diperoleh pada 20 November lalu dengan harga 30,000 baht (kira-kira RM4,000).
Suspek dipercayai memasarkan dadah berkenaan di sekitar Tumpat dan Pasir Mas pada harga RM7 sebiji.
Suspek bersama semua barang rampasan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.