PM mahu ibu bapa hadir ke sekolah terima bantuan RM200

Foto Fail BERNAMA

PUTRAJAYA, 25 November – Ibu bapa diminta hadir sendiri ke sekolah bagi menerima Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM200 untuk setiap murid pada sesi persekolahan 2027.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ibu bapa digalakkan bertemu guru untuk membincangkan perkembangan pelajaran, disiplin dan sahsiah anak-anak.
  • KPM diminta mengutamakan pengagihan bantuan di sekolah, bukan menghantarnya ke rumah kecuali dalam keadaan tertentu.
  • Ibu bapa perlu mengenali sekolah anak-anak dan menghargai peranan guru dalam mendidik mereka.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu bertujuan menggalakkan pertemuan secara langsung antara ibu bapa dengan guru bagi membincangkan perkembangan pelajaran, disiplin dan sahsiah anak-anak.

Sehubungan itu, Kementerian Pendidikan (KPM) diminta mengutamakan pengagihan bantuan di sekolah, bukannya menghantar wang berkenaan ke rumah kecuali dalam keadaan tertentu.

“Kita minta ibu bapa datang ke sekolah, kita tidak serah wang itu ke rumah. Ini kerana kita mahu ibu bapa tahu sekolah anaknya, berjumpa guru-guru dan guru boleh memberi nasihat.

“Mereka harus tahu bahawa yang membantu mendidik anak-anak mereka ialah para guru,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Prakarsa Kecerdasan Buatan (AI) Pendidikan Negara, AI Temu AI, di sini, hari ini.

BAP bagi sesi 2027 dinaikkan daripada RM150 kepada RM200 bagi setiap murid, melibatkan kira-kira 5.3 juta penerima dengan peruntukan keseluruhan RM1 bilion seperti diumumkan dalam Belanjawan 2027.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.