
PUTRAJAYA, 25 November – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan beliau masih belum menerima peletakan jawatan Anthony Loke sebagai Menteri Pengangkutan.
- Anwar menasihatkan Anthony Loke bercuti selepas pertemuan mereka baru-baru ini.
- Tugas Kementerian Pengangkutan diteruskan oleh Ketua Setiausaha dan Timbalan Menteri, dengan pemantauan sementara oleh Perdana Menteri.
- Loke mengumumkan peletakan jawatan daripada Kabinet pada 10 November, namun beliau dan Ahli Parlimen DAP lain kekal menyokong Perdana Menteri.
- Kerajaan MADANI komited memperbaiki prestasi sepanjang baki penggal pemerintahan.
Datuk Seri Anwar berkata, Loke kini masih bercuti selepas beliau menasihatkan pemimpin itu berbuat demikian dalam pertemuan mereka baru-baru ini.
“Saya belum terima peletakan jawatan, dia masih bercuti. Jumpa, dia beri alasan yang kita tahu dan saya beritahu, cuti dulu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Prakarsa AI Pendidikan Negara, AI Temu AI, di sini, hari ini.
Mengenai pengurusan Kementerian Pengangkutan (MOT) sepanjang ketiadaan Loke, Perdana Menteri menjelaskan bahawa tugas kementerian diteruskan barisan pentadbiran sedia ada, selain dipantau sementara oleh beliau sendiri.
“Tugas sekarang ini kalau ikut peraturannya memang Ketua Setiausaha (KSU) ada, Timbalan Menteri ada, tapi memang Perdana Menteri tampung sekejap,” katanya.
Pada 10 November lalu, Lokeyang juga Ahli Parlimen Seremban mengumumkan peletakan jawatannya daripada Kabinet berkuat kuasa serta-merta.
Bagaimanapun, Loke dan Ahli Parlimen DAP lain kekal menyokong kepimpinan Perdana Menteri.
Dalam perkembangan lain, ketika diminta mengulas pencapaian Kerajaan MADANI yang memasuki tahun keempat pentadbiran, Datuk Seri Anwar menegaskan komitmen untuk terus meningkatkan prestasi sepanjang baki penggal pemerintahan.
“Insya-Allah kita akan buat sebaik mungkin dan kita perbaiki prestasi kita. Kita ada setahun lebih lagi,” katanya.