Malaysia kekal dasar dwirangkaian 5G

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR, 25 November – Kerajaan kekal meneruskan dasar dwirangkaian 5G bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan komunikasi, selain meningkatkan keselamatan dan kebolehpercayaan rangkaian.

RINGKASAN BERITA AI
  • DNB menggunakan peralatan Ericsson, manakala rangkaian U Mobile menggunakan teknologi Huawei dan ZTE.
  • Penggunaan peralatan berbeza bertujuan meningkatkan keyakinan pengguna terhadap keselamatan komunikasi.
  • Jika satu rangkaian terganggu, rangkaian alternatif boleh diaktifkan; kedua-dua penyedia diminta berbincang tentang proses pemulihan.
  • Kesinambungan dasar 5G dapat memperkukuh keyakinan pelabur serta memberi syarikat fleksibiliti memilih rangkaian mengikut keperluan operasi.

Ketika ini, Malaysia mempunyai dua rangkaian 5G nasional yang menggunakan teknologi berbeza, iaitu rangkaian Digital Nasional Berhad (DNB) menggunakan peralatan Ericsson, manakala rangkaian kedua kendalian U Mobile menggunakan teknologi Huawei dan ZTE.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, pendekatan itu penting bagi meningkatkan keyakinan pengguna terhadap keselamatan komunikasi menerusi peralatan yang digunakan oleh penyedia rangkaian.

“Dasar dwirangkaian ini turut menyediakan aspek redundansi, iaitu sekiranya berlaku gangguan terhadap satu rangkaian, rangkaian kedua boleh diaktifkan.

“Saya telah meminta kedua-dua penyedia rangkaian mengadakan perbincangan bagi memastikan proses pemulihan dapat dilaksanakan.

Sekiranya berlaku sebarang insiden keselamatan atau kecemasan, pengguna satu rangkaian masih boleh mendapatkan perkhidmatan menerusi rangkaian alternatif.

“Inilah pendekatan yang diambil bagi mengelakkan berlakunya kegagalan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan NEXSEC 2026 di sini, hari ini.

Terdahulu, EuroCham Malaysia memaklumkan kesinambungan dasar 5G negara penting bagi memperkukuh keyakinan pelabur asing, khususnya dalam merancang strategi dan pelaburan perniagaan jangka panjang.

Pendekatan Malaysia menggunakan teknologi Barat dan China turut memberikan kedudukan lebih kompetitif serta fleksibiliti kepada syarikat untuk memilih rangkaian berdasarkan keperluan operasi masing-masing.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.