NFDP teliti peluang hantar pemain muda berlatih di luar negara

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 25 November – Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) sedang meneliti peluang menempatkan pemain muda terpilih di kelab luar negara bagi memperluas pengalaman dan meningkatkan kualiti pembangunan mereka.

RINGKASAN BERITA AI
  • NFDP mahu menyediakan pemain berusia 13 hingga 14 tahun dengan kejohanan kompetitif dan pendedahan luar negara.
  • Kelab yang cemerlang dalam pembangunan pemain muda akan dinilai sebelum penempatan sementara diputuskan.
  • Kualiti kejurulatihan akan ditingkatkan dengan penglibatan pakar serta kerjasama MSN dan FAM.

Pengarah Teknikal NFDP, Datuk Ong Kim Swee berkata, pendekatan itu merupakan sebahagian usaha memperkukuh pembangunan pemain seawal usia 13 hingga 14 tahun, sekali gus memastikan mereka mendapat persediaan lebih menyeluruh sebelum melangkah ke peringkat lebih tinggi.

“Kita inginkan banyak pendedahan kepada pemain-pemain yang berusia lebih muda, bukan ketika mereka berusia 16 hingga 17 tahun baru kita dedahkan, tetapi kita harus sediakan mereka dengan kejohanan-kejohanan yang lebih kompetitif termasuk pendedahan di luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Sukan di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil.

Mengulas lanjut, Datuk Ong Kim Swee berkata, beberapa kelab yang mempunyai rekod cemerlang dalam pembangunan pemain muda akan dinilai sebelum sebarang keputusan penempatan dibuat.

Langkah itu dijangka memberi peluang kepada pemain terpilih merasai persekitaran latihan berbeza menerusi tempoh penempatan yang akan ditentukan kelak.

“Pendedahan ke luar negara termasuk penempatan sementara. Kita kemungkinan akan menghantar beberapa pemain kita untuk berlatih di luar negara untuk jangka masa waktu yang tertentu,” jelasnya.

Selain pendedahan antarabangsa, NFDP turut memberi perhatian kepada peningkatan kualiti kejurulatihan menerusi penglibatan pakar dalam aspek pembangunan individu dan permainan berpasukan.

Datuk Ong Kim Swee berharap perancangan yang dibincangkan bersama MSN dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) itu dapat direalisasikan menerusi kerjasama semua pihak, sekali gus memperkukuh sistem pembangunan bola sepak negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.