
KUALA LUMPUR, 25 November – Majlis Olimpik Malaysia (MOM) akan mengadakan perbincangan bersama Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) dan Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) bagi merangka hala tuju kerjaya atlet angkat berat, Muhammad Hafizuddin Roslin, selepas pulih daripada kecederaan.
- Peluang Hafizuddin menceburi bidang kejurulatihan akan dipertimbangkan agar pengalaman dan sumbangannya terus dimanfaatkan.
- MOM mahu memastikan Hafizuddin tidak terpinggir, serta menghargai jasa dan perjuangannya untuk sukan negara.
- MOM dan presidennya masing-masing menyumbang RM10,000, sementara Hafizuddin menunjukkan perkembangan positif dan menjalani rehabilitasi.
Antara perkara yang akan dipertimbangkan termasuk peluang Hafizuddin menceburi bidang kejurulatihan bagi memastikan pengalaman dan sumbangannya kepada sukan negara terus dimanfaatkan.
Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, tindakan susulan serta penyediaan jaringan keselamatan amat penting bagi memastikan atlet yang banyak berjasa kepada negara itu tidak berasa terpinggir selepas ditimpa musibah.
“Kita tidak mahu beliau dipinggirkan atau menderita keseorangan. Setelah lama beliau berjuang untuk negara dengan meraih pingat emas, emas SUKMA serta
memecahkan rekod kebangsaan, kita mahu beliau tahu bahawa sumbangannya sentiasa dihargai.
“Kita mahu menunjukkan bahawa kita mengambil berat dan beliau tidak keseorangan dalam melalui proses yang amat sukar serta traumatik ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke atas atlet berkenaan di Hospital Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Dalam lawatan itu, MOM turut menyalurkan sumbangan sebanyak RM10,000 bagi membantu Hafizuddin.
Turut menyertai lawatan berkenaan ialah Presiden PABM, Datuk Ayub Rahmat; Pengerusi Perubatan dan Anti-Doping MOM, Datuk Dr. SS Cheema serta penasihat sokongan psikologi kepada Hafizuddin.
Selain sumbangan MOM, Tan Sri Mohamad Norza turut menghulurkan sumbangan peribadi sebanyak RM10,000 bagi meringankan beban atlet berkenaan dan keluarganya.
Mengulas perkembangan kesihatan Hafizuddin, Tan Sri Mohamad Norza berkata, keadaan atlet itu menunjukkan perkembangan positif apabila sudah mampu berinteraksi dan berjalan, selain sedang menjalani proses rehabilitasi.
Hafizuddin juga dijangka dibenarkan keluar dari hospital dalam masa terdekat.
Terdahulu, Hafizuddin, yang lebih dikenali sebagai Udin, terbabit dalam kemalangan motosikal di Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) pada 16 Disember lalu ketika dalam perjalanan dari Ampang menuju ke Bukit Jalil.