Zelensky kritik Trump gelar Putin sebagai sahabat

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky/AFP

LONDON, 28 November -Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky mengkritik kenyataan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang menggelar Presiden Rusia, Vladimir Putin sebagai sahabat, sambil menyamakan pemimpin Rusia itu dengan Adolf Hitler.

RINGKASAN BERITA AI
  • Zelensky menggesa Washington meningkatkan tekanan terhadap Moscow bagi mencapai kemajuan menamatkan perang.
  • Beliau berkata Ukraine memerlukan tindakan tegas Amerika Syarikat, bukan sekadar kenyataan sokongan.
  • Usaha Washington mencapai persetujuan untuk menamatkan konflik masih belum berhasil.
  • Trump mengurangkan bantuan ketenteraan kepada Ukraine selepas kembali memegang jawatan Presiden.

Dalam temu bual bersama BBC yang disiarkan pada Jumaat, Zelensky menyifatkan hubungan persahabatan dengan seorang pemimpin yang dianggapnya sebagai penceroboh dan pembunuh sebagai sesuatu yang tidak wajar.

Beliau turut membandingkan tindakan itu dengan menganggap Hitler sebagai sahabat ketika Perang Dunia Kedua.

Kenyataan itu menyusul selepas Trump dan Putin mengadakan pertemuan di China minggu lalu, pertemuan pertama mereka sejak Ogos 2025.

Trump kemudian memuat naik gambar kedua-dua pemimpin bersalaman menerusi media sosial dengan kapsyen “My Friend”.

Sementara itu, Zelensky menggesa Washington meningkatkan tekanan terhadap Moscow bagi memastikan kemajuan lebih ketara dalam usaha menamatkan perang Rusia-Ukraine.

Menurutnya, Ukraine tidak memerlukan sekadar kenyataan sokongan daripada Amerika Syarikat, sebaliknya tindakan tegas sebuah negara berpengaruh untuk mendesak Rusia menghentikan peperangan.

Setakat ini, usaha Washington untuk mencapai persetujuan bagi menamatkan konflik berkenaan masih belum berhasil.

Rusia melancarkan pencerobohan besar-besaran ke atas Ukraine pada Februari 2022, mencetuskan perang yang mengorbankan ratusan ribu nyawa.

Amerika Syarikat sebelum ini menjadi penyokong utama Kiev ketika pentadbiran bekas Presiden Joe Biden.

Bagaimanapun, Trump mengurangkan bantuan ketenteraan kepada Ukraine selepas kembali memegang jawatan Presiden pada awal tahun lalu. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.