Gavi peroleh 1.5 juta dos vaksin eksperimen ebola untuk Congo

Foto fail/ AFP

NAIROBI, 28 November -Perikatan Vaksin Global (Gavi) memperoleh sebanyak 1.5 juta dos vaksin eksperimen Ebola bagi menghadapi penularan wabak penyakit itu yang semakin serius di Congo.

RINGKASAN BERITA AI
  • WHO melaporkan wabak strain Bundibugyo menyebabkan lebih 11,000 kes dan 5,700 kematian.
  • Dua calon vaksin, ChAdOx1 dan vaksin mRNA Moderna, mula menjalani ujian klinikal di kawasan penularan.
  • Vaksin hanya boleh digunakan jika ujian klinikal menunjukkan keputusan positif dan mendapat kelulusan WHO serta kerajaan DRC.
  • Gavi bekerjasama dengan rakan tempatan menangani keraguan terhadap vaksin dan penyebaran maklumat palsu.

Langkah itu diambil sebagai persediaan sekiranya vaksin berkenaan terbukti berkesan menerusi ujian klinikal yang sedang dijalankan.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), wabak Ebola strain Bundibugyo yang diisytiharkan pada Mei lalu telah merekodkan lebih 11,000 kes, termasuk lebih 5,700 kematian.

Buat masa ini, belum terdapat vaksin atau rawatan khusus yang terbukti berkesan untuk menangani strain berkenaan.

Dua calon vaksin berpotensi mula menjalani ujian klinikal di kawasan pusat penularan wabak itu minggu ini.

Ia merangkumi vaksin berasaskan vektor adenovirus ChAdOx1 yang dibangunkan Institut Serum India bersama Universiti Oxford, serta vaksin teknologi mRNA keluaran syarikat bioteknologi Amerika Syarikat, Moderna.

Gavi memaklumkan pihaknya telah memeterai komitmen pembelian dengan Institut Serum India bagi mendapatkan 1.5 juta dos vaksin ChAdOx1.

Pengarah Keselamatan Kesihatan Global Gavi, Emanuele Capobianco berkata, pihaknya menyasarkan ratusan ribu dos vaksin tersedia untuk digunakan sekiranya ujian klinikal menunjukkan keputusan positif dan mendapat kelulusan WHO serta kerajaan DRC.

Beliau berharap ujian berkenaan dapat diselesaikan dalam separuh pertama 2027, malah berpotensi seawal suku pertama tahun depan.

Sementara itu, Gavi turut bekerjasama dengan rakan kesihatan tempatan dan pemimpin komuniti bagi membantu kerajaan menyalurkan vaksin di kawasan terjejas yang berdepan konflik serta ketidaktentuan keselamatan.

Usaha itu turut memberi tumpuan kepada penanganan keraguan masyarakat terhadap vaksin dan penyebaran maklumat palsu.

Dalam perkembangan berkaitan, Gavi turut mempunyai stok simpanan sebanyak 500,000 dos vaksin Ervebo yang sebelum ini digunakan untuk menangani Ebola strain Zaire.

Ujian turut dijalankan sejak bulan lalu bagi menilai keberkesanan vaksin berkenaan terhadap strain Bundibugyo.

Gavi sebelum ini berdepan kekangan kewangan susulan penarikan sokongan bernilai AS$1.58 bilion oleh Amerika Syarikat tahun lalu. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.