Iran bakal buka 12 pusat sinaran tingkat keselamatan makanan, eksport pertanian

Foto AFP

RASHT (Iran), 26 November – Iran merancang membuka 12 pusat pemprosesan sinaran menjelang akhir tahun semasa kalendar Iran (20 Mac 2026), menurut pegawai Pertubuhan Tenaga Atom Iran (AEOI), ketika fasiliti baharu itu mula beroperasi di Wilayah Gilan, utara Iran, lapor Agensi Berita Republik Islam (IRNA).

RINGKASAN BERITA AI
  • Pusat sinaran di Gilan membantu petani menangani serangan serangga perosak yang merosakkan hasil pertanian.
  • Pemprosesan sinaran memanjangkan tempoh penyimpanan hasil dan mengurangkan pembaziran.
  • Usaha itu dijangka menyokong peningkatan eksport pertanian Iran.
  • Pusat berkenaan memproses beras, teh, kacang hazel, kacang tanah dan tumbuhan ubatan menggunakan sistem sinaran gama dan elektromagnet.

Timbalan Ketua AEOI Hossein Sadeghi berkata pada majlis perasmian fasiliti itu di daerah Lakan, Rasht pada Khamis, pusat itu akan membantu petani menangani masalah serangan serangga perosak tanaman yang memusnahkan hasil pertanian sebelum sempat disimpan.

Fasiliti itu mampu menghapuskan serangga perosak dalam produk pertanian termasuk beras, memanjangkan tempoh penyimpanan serta mengurangkan pembaziran, kata Sadeghi sambil menjelaskan usaha itu juga dijangka menyokong peningkatan eksport.

Pusat pemprosesan sinaran itu merupakan sebahagian daripada Syarikat Pembangunan Aplikasi Sinaran AEOI.

Ditubuhkan bagi meningkatkan keselamatan dan sekuriti makanan dalam sektor pertanian di Gilan, pusat itu akan memproses beras, teh, kacang hazel, kacang tanah dan tumbuhan ubatan.

Fasiliti berkenaan dilengkapi sistem penyinaran gama dan elektromagnet.

Naib Presiden Iran merangkap Ketua AEOI Mohammad Eslami, Gabenor Gilan Hadi Haghshenas, ahli parlimen wilayah serta beberapa pegawai lain turut menghadiri majlis perasmian.- BERNAMA-IRNA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.