
PUTRAJAYA, 25 November – Nilai perolehan kerajaan bagi produk dan perkhidmatan hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) tempatan di bawah Program MySTI mencecah RM221 juta setakat Oktober 2026.
- Program MySTI telah memperakui 963 produk tempatan, sekali gus membuka peluang lebih luas kepada syarikat teknologi untuk menembusi pasaran sektor awam.
- Pekeliling Perbendaharaan Malaysia PK 1.4 mewajibkan kementerian dan Badan Berkanun Persekutuan menetapkan KPI tahunan sekurang-kurangnya lima peratus bagi perolehan produk MySTI.
- Dana Uji Beli MySTI menyalurkan RM8.1 juta, manakala Dana Mudah Cara menyediakan RM1.09 juta bagi membantu syarikat mengatasi kekangan pembiayaan dan pengeluaran.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Chang Lih Kang berkata pencapaian itu melibatkan 963 produk tempatan yang memperoleh pensijilan MySTI, sekali gus membuka peluang lebih luas kepada syarikat teknologi tempatan untuk menembusi pasaran sektor awam.
“Peningkatan itu turut didorong penguatkuasaan Pekeliling Perbendaharaan Malaysia PK 1.4 pada 23 Jun 2025 yang mewajibkan kementerian dan Badan Berkanun Persekutuan menetapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) tahunan sekurang-kurangnya lima peratus bagi perolehan produk berstatus MySTI.
“Kejayaan produk tempatan tidak boleh bergantung kepada sokongan kerajaan semata-mata. Syarikat perlu terus meningkatkan kualiti, prestasi, pematuhan piawaian serta kecekapan kos supaya produk dan perkhidmatan MySTI mampu bersaing berdasarkan kekuatan dan nilai tersendiri, bukan sekadar bergantung kepada keutamaan dasar,” katanya ketika berucap di Majlis Perasmian Ekspo MySTI 2026 di sini.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan memperuntuk RM3 juta bagi pelaksanaan program MySTI 2027 bagi memastikan usaha memperluas penggunaan teknologi tempatan terus diperkukuh.
“Bagi membantu syarikat mengatasi kekangan pembiayaan dan pengkomersialan, Dana Uji Beli MySTI telah menyalurkan RM8.1 juta melibatkan hampir 90 lokasi di 27 kementerian, manakala Dana Mudah Cara MySTI menyediakan RM1.09 juta bagi membantu syarikat pemula niaga serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menampung kos pengeluaran,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) selaku perunding teknologi dan pembangun ekosistem MySTI telah melaksanakan 121 sesi libat urus bersama 28 kementerian dan agensi bagi memadankan produk tempatan dengan keperluan perolehan kerajaan.
Expo MySTI 2026 yang berlangsung selama dua hari di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) menghimpunkan 250 syarikat teknologi tempatan bersama kementerian dan agensi kerajaan bagi memperluas peluang pasaran serta kerjasama strategik.