Bantuan khas sekali beri RM540,000 disalur kepada waris mangsa banjir Nepal

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan pada Majlis Penyerahan Bantuan Kepada Keluarga Mangsa Banjir Nepal di Menara PERKESO / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 25 November – Bantuan khas secara sekali beri sebanyak RM540,000 telah disalurkan kepada 54 orang waris mangsa bencana banjir dan tanah runtuh di Nepal-Tibet pada Ogos lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Setiap waris menerima bantuan kewangan RM10,000 sebagai tanda keprihatinan dan sokongan Kerajaan MADANI.
  • Bantuan pertama berjumlah RM174,000 disalurkan kepada 28 keluarga pencarum yang layak.
  • Tempoh menunggu sijil anggapan kematian berjaya dipendekkan daripada 12 tahun kepada 45 hari.
  • Surat rasmi pihak Nepal dijangka dikeluarkan pada minggu pertama Disember sebelum sijil anggapan kematian diproses secepat mungkin.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata, setiap waris menerima bantuan kewangan sebanyak RM10,000 sebagai tanda keprihatinan dan sokongan Kerajaan MADANI terhadap keluarga mangsa yang terkesan akibat tragedi tersebut.

“Ini bantuan kedua yang disampaikan. Bantuan pertama dilaksanakan di Menara PERKESO dengan kelulusan khas untuk seramai 28 keluarga pencarum yang layak berjumlah RM174,000.

“Hari ini RM540,000 telah disalurkan kepada semua mangsa banjir dan tanah runtuh di Nepal. Ini keputusan mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Penyerahan Bantuan Kepada Keluarga Mangsa Banjir Nepal di Menara PERKESO, hari ini.

Mengulas mengenai perkembangan terkini urusan dokumentasi dan status mangsa, beliau memaklumkan bahawa tempoh menunggu bagi pengeluaran sijil anggapan kematian yang sebelum ini memakan masa 12 tahun telah berjaya dipendekkan kepada 45 hari.

Perkara itu dicapai hasil perbincangan dan kerjasama erat pelbagai pihak termasuk Kementerian Luar.

“Tempoh 45 hari itu pun sudah berakhir, jadi kita sedang menunggu pihak Nepal untuk mengeluarkan surat rasmi yang dijangka dibuat pada minggu pertama Disember
ini.

“Saya juga telah mendapat kepastian daripada Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara bahawa sebaik sahaja semua dokumentasi daripada pihak Nepal diterima melalui Kementerian Luar Negeri, sijil anggapan kematian berkenaan akan dikeluarkan secepat mungkin,” ujarnya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.