Pandemik, kerjaya bukan penghalang genggam PhD

Graduan PhD, sidang kedua Upacara Konvokesyen ke-64 USM

SUNGAI DUA, 25 November – Menamatkan pengajian Doktor Falsafah (PhD) bukan perjalanan mudah, lebih-lebih lagi apabila perlu mengimbangi komitmen akademik dengan kerjaya yang menuntut masa dan jadual kerja tidak menentu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dr Mohd Izzamil berjaya menamatkan PhD Geografi Bandar dan Metropolitan sambil mengimbangi kerjaya penyiaran di RTM.
  • Pandemik COVID-19 dan PKP melambatkan pengajian serta menghalang Dr Norhidayah menjalankan eksperimen makmal hampir setahun.
  • Kedua-dua graduan berdepan cabaran besar, namun kegigihan dan semangat tidak berputus asa membantu mereka menamatkan pengajian.

Cabaran itu dilalui Dr Mohd Izzamil Mohd Nasir, 34 tahun, yang berjaya menamatkan pengajian PhD dalam bidang Geografi Bandar dan Metropolitan di Universiti Sains Malaysia (USM).

Menurut beliau, tempoh pengajian yang panjang turut dipengaruhi pandemik COVID-19, selain keputusan kembali meneruskan kerjaya dalam bidang penyiaran bersama Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Keadaan itu menuntut beliau membahagikan masa antara tuntutan kerja, urusan akademik, pertemuan dengan penyelia serta penyelesaian tesis.

“Tempoh pengajian saya agak panjang, sekitar 2017 hingga 2018 dan seterusnya, ditambah kekangan COVID-19. Pada masa sama, saya memulakan semula kerjaya di RTM. Membahagikan masa untuk bekerja, pulang ke kampus, bertemu penyelia dan menyiapkan kajian merupakan cabaran besar.

“Namun, jangan pernah berputus asa. Ingat apa yang kita impikan dan cita-citakan, serta harapan mereka yang sentiasa menyokong kita, termasuk ibu bapa, keluarga, guru dan rakan-rakan. Teruskan sehingga berjaya menamatkan pengajian,” katanya ketika ditemui media.

Beliau yang juga pengacara program Biz Malaysia dan Diari Rawat serta penyampai berita televisyen dan radio RTM menegaskan, cabaran dan kegagalan sepanjang pengajian tidak seharusnya menjadi alasan untuk mengalah, sebaliknya perlu dijadikan kekuatan untuk meneruskan perjuangan.

Sementara itu, Dr Norhidayah Sabri yang menamatkan PhD dalam bidang Kesihatan dan Keselamatan Pekerja menerusi kajian nanopartikel turut berdepan cabaran besar ketika pandemik COVID-19.

Beliau mengambil masa tujuh tahun untuk menamatkan pengajian, antaranya akibat sekatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menghalangnya menjalankan eksperimen di makmal selama hampir setahun.

“Ketika PKP, saya tidak dibenarkan ke makmal dan terpaksa menghentikan eksperimen hampir setahun. Pada masa sama, agak sukar menguruskan suami dan anak-anak, selain bidang nanopartikel yang masih baharu dan mempunyai sumber rujukan terhad.

“Namun, semua cabaran itu tidak mematahkan semangat saya,” katanya.

Kedua-dua mereka merupakan antara 1,054 graduan yang menerima ijazah PhD pada sidang kedua Upacara Konvokesyen ke-64 USM hari ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.