
PUTRAJAYA, 25 November – Penguasaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam sistem pendidikan negara perlu seiring pembentukan akhlak, adab dan nilai kemanusiaan.
- Penguasaan AI dalam pendidikan perlu seiring pembentukan akhlak, adab dan nilai kemanusiaan.
- Pendedahan awal kepada AI membiasakan murid dengan teknologi masa hadapan tanpa menggantikan kemahiran asas membaca dan mengira.
- Guru berperanan membimbing murid menggunakan AI secara beretika dan bertanggungjawab.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu penting bagi melahirkan generasi pintar yang berkeperibadian mulia.
“AI ini teknologi baru untuk menggapai di langit. Kecanggihannya menakjubkan. Tetapi untuk menyelamatkan akidah, akhlak, keperibadian dan kemanusiaan kita, kita mesti tetap mengakar di bumi.
“Kita menggunakan teknologi canggih AI untuk mendidik manusia, bukan mendidik mesin. Manusia ini ada akhlaknya, ada agamanya, ada budayanya dan sopan santunnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan Prakarsa AI Pendidikan Negara, AI Temu AI, di sini, hari ini.
Mengulas kebimbangan terhadap pendedahan AI kepada murid sekolah rendah, Datuk Seri Anwar menjelaskan teknologi itu tidak akan menggantikan kemahiran asas seperti membaca dan mengira.
Sebaliknya, pendedahan awal bertujuan membiasakan murid dengan teknologi masa hadapan, sekali gus mempersiapkan mereka menghadapi perubahan dalam kaedah pembelajaran.
Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan pelaksanaan AI bergantung pada komitmen warga pendidik yang memainkan peranan penting dalam membimbing murid menggunakan teknologi secara beretika dan bertanggungjawab.
Pada majlis sama, Perdana Menteri melancarkan tiga inisiatif utama, iaitu pelantar pembelajaran digital DELIMa 3.0, Panduan Literasi AI Kementerian Pendidikan (KPM) dan aplikasi Cikgu ILMU.
DELIMa 3.0 menyediakan pembelajaran yang disesuaikan dengan keupayaan serta minat murid, manakala Panduan Literasi AI KPM memberi penekanan kepada aspek tadbir urus, pengajaran dan pembelajaran, pembelajaran sepanjang hayat serta etika penggunaan teknologi.
Sementara itu, Cikgu ILMU yang dibangunkan YTL AI Labs dan dikuasakan oleh ILMU AI Malaysia membantu ibu bapa membimbing pembelajaran anak-anak, termasuk persediaan peperiksaan, ulang kaji dan penilaian kefahaman menerusi kuiz serta kad imbasan.
Ketiga-tiga inisiatif itu merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh pendidikan digital negara selaras dengan Rancangan Pendidikan Malaysia 2026 hingga 2035.