
KUALA LUMPUR, 26 November – PETRONAS menerusi anak syarikat milik penuhnya, PETRONAS LNG Ltd (PLL), berjaya menghantar kargo pertama gas asli cecair bio (Bio-LNG) dari Malaysia ke Jepun yang mendapat pensijilan International Sustainability and Carbon Certification (ISCC) PLUS.
- Kerjasama susulan MoU PETRONAS dan Tokyo Gas memperluas nilai LNG serta meneroka peluang penyahkarbonan.
- Usaha itu menyokong aspirasi Jepun memperkenalkan satu peratus gas boleh baharu dalam bekalan gas bandar menjelang 2030.
- Kargo Bio-LNG bersumberkan efluen kilang minyak sawit dimuatkan bersama LNG konvensional di Terminal Regasifikasi Pengerang, Johor.
PETRONAS dalam kenyataannya pada Khamis memaklumkan, penghantaran itu dilaksanakan dengan kerjasama Tokyo Gas Co Ltd (Tokyo Gas), sekali gus menandakan pencapaian penting dalam pembangunan rantaian bekalan gas boleh baharu antara kedua-dua syarikat.
”Kejayaan itu susulan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara PETRONAS dan Tokyo Gas pada 27 Oktober 2026 bagi memperluas kerjasama merentasi rantaian nilai gas asli cecair (LNG) serta meneroka peluang penyahkarbonan.
”Penghantaran Bio-LNG itu mencerminkan langkah ke arah penyelesaian praktikal yang menggabungkan keupayaan LNG bersepadu syarikat berkenaan dengan komitmen Tokyo Gas untuk memajukan penyelesaian tenaga rendah karbon,” jelas kenyataan tersebut.
Kerjasama itu turut menyokong aspirasi Jepun untuk memperkenalkan satu peratus gas boleh baharu, termasuk e-metana dan biomethana, dalam bekalan gas bandar menjelang 2030.
Kargo Bio-LNG pertama itu dimuatkan bersama LNG konvensional di Terminal Regasifikasi Pengerang (RGTP), Johor, dengan sumber bekalan berasaskan efluen kilang minyak sawit (POME).
Naib Presiden Eksekutif PETRONAS merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Gas dan Maritim, Datuk Adif Zulkifli berkata, pencapaian itu membuktikan keupayaan PETRONAS merangkumi keseluruhan rantaian nilai LNG dalam membangunkan penyelesaian tenaga alternatif seperti Bio-LNG.
“Gabungan potensi biomethana Malaysia dengan skala, kebolehpercayaan dan capaian pasaran portfolio LNG sedia ada PETRONAS membuka laluan kepada bekalan gas boleh baharu untuk menembusi pasaran antarabangsa, selain memastikan keselamatan bekalan tenaga kepada pelanggan.
“Kami berharap dapat memperkukuh asas kerjasama ini bagi memajukan penyelesaian penyahkarbonan praktikal yang memenuhi keperluan tenaga pelanggan yang terus berkembang serta menyokong peningkatan permintaan terhadap penyelesaian tenaga rendah karbon di rantau ini,” katanya.