
GEORGE TOWN, 25 November – Pasukan Polis Marin (PPM) menumpaskan sindiket penyeludupan dadah antarabangsa selepas merampas 103.798 kilogram (kg) syabu bernilai RM5.19 juta menerusi Op Taring Gelora pada 14 November lalu.
- Sindiket menggunakan bot gentian kaca untuk menyeludup dadah dari dalam negara ke pasaran negara jiran.
- Bot dikendalikan dua lelaki warga Indonesia, manakala serbuan susulan membawa kepada penahanan dua lelaki lain.
- Dalang sindiket menawarkan upah RM12,000 bagi setiap perjalanan; kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam operasi berkenaan, polis turut menahan empat individu termasuk seorang lelaki tempatan yang dipercayai menjadi dalang utama sindiket terbabit.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata sindiket itu dikesan menggunakan bot gentian kaca bagi menyeludup bekalan dadah yang diperoleh dari dalam negara untuk pasaran di negara jiran.
“Setelah ditahan, hasil pemeriksaan lanjut mendapati bot gentian kaca tersebut dikendalikan oleh dua lelaki warga Indonesia.
“Pemeriksaan fizikal terhadap bot berkenaan menemukan lima guni berwarna putih mengandungi sebanyak 100 bungkusan plastik berwarna keemasan yang disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran nilai pasaran RM5.19 juta,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PPM Wilayah Satu, di sini.
Mengulas lanjut, Datuk Seri Mohd Yusri berkata, risikan susulan yang dijalankan membawa kepada serbuan di sebuah rumah di Kampung Sungai Layar Hujung, Sungai Petani, Kedah sebelum menahan seorang lelaki tempatan dan seorang lagi lelaki warga Indonesia.
“Siasatan awal mendapati dalang sindiket berkenaan menawarkan upah sebanyak RM12,000 bagi setiap perjalanan kepada pengangkut untuk membawa bekalan terbabit.
“Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas itu dianggarkan mampu menampung keperluan lebih 500,000 penagih sekiranya terlepas ke pasaran.
“Kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya.