Undang-undang akses data Kanada cetus kebimbangan

Foto Janaan AI

TORONTO, 26 November – Kanada sedang memperkukuh undang-undang yang memberi kuasa baharu kepada pihak penguat kuasa untuk mengakses maklumat digital peribadi, namun cadangan itu mencetuskan kebimbangan terhadap privasi dan keselamatan siber.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lebih 20 organisasi masyarakat sivil menggesa Perdana Menteri campur tangan dan menyifatkan rang undang-undang itu sebagai “bencana yang bakal berlaku”.
  • Syarikat teknologi memberi amaran mungkin menarik balik perkhidmatan tertentu jika undang-undang diluluskan tanpa pindaan kerana perlindungan penyulitan data dikhuatiri terjejas.
  • Rang undang-undang mewajibkan penyimpanan lebih banyak metadata dan memudahkan akses agensi; Senat mencadangkan pindaan bagi memperkukuh perlindungan daripada serangan siber.

Lebih 20 organisasi masyarakat sivil, termasuk Amnesty International, menggesa Perdana Menteri, Mark Carney campur tangan, sambil menyifatkan rang undang-undang itu sebagai “bencana yang bakal berlaku”.

Syarikat teknologi utama turut memberi amaran kemungkinan menarik balik perkhidmatan tertentu dari Kanada sekiranya undang-undang itu diluluskan tanpa pindaan, kerana didakwa melemahkan perlindungan penyulitan data.

Rang undang-undang itu telah diluluskan Dewan Rakyat, namun Senat pada Rabu mencadangkan beberapa pindaan bagi memastikan syarikat teknologi mengekalkan perlindungan kukuh daripada serangan siber.

Kerajaan mempertahankan peruntukan yang mewajibkan penyedia perkhidmatan elektronik menyimpan lebih banyak metadata pelanggan, selain memudahkan akses polis dan agensi perisikan. Dalam keadaan tertentu, maklumat digital juga boleh diminta tanpa waran.

Jurucakap Menteri Keselamatan Awam, David Taylor, berkata Kanada merupakan satu-satunya negara dalam pakatan Five Eyes dan G7 yang tidak mempunyai undang-undang akses sah terhadap maklumat berkenaan, sambil menegaskan rang undang-undang itu mengimbangi keselamatan awam dengan hak privasi.

Bagaimanapun, pengkritik bimbang kewajipan menyimpan serta mengekstrak data sensitif boleh mewujudkan kelemahan sistem yang dieksploitasi pihak tidak bertanggungjawab, khususnya kumpulan jenayah yang semakin memanfaatkan kecerdasan buatan (AI).

Kerajaan menafikan rang undang-undang itu mewajibkan kewujudan pintu belakang dalam sistem penyulitan, sebaliknya menyatakan ia bertujuan menyediakan saluran selamat bagi menyerahkan data yang diminta secara sah.

Antara pindaan Senat ialah memperjelas definisi “kelemahan sistemik” yang boleh mendedahkan sistem penyulitan kepada serangan.- AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.