Hampir 3,000 sertai perhimpunan ulama dan musnid di Masjid Putra

Syeikh Maulana Abdul Hamid Chin & Syeikh Dr. Naji Rashid Al-Arabi / Foto RTM

PUTRAJAYA, 22 November – Hampir 3,000 individu menyertai perhimpunan 40 ulama dan musnid dari dalam serta luar negara menerusi program Raudhah Al-Syama’il di Masjid Putra, Putrajaya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Program Raudhah Al-Syama’il memberi peluang mendalami hadis bersanad khusus tentang sifat, akhlak dan keperibadian Rasulullah SAW.
  • Syeikh Maulana Abdul Hamid Chin tekankan penghayatan ajaran Islam, tanggungjawab terhadap masyarakat dan alam bagi mencapai keharmonian.
  • Syeikh Dr. Naji Rashid Al-Arabi puji majlis yang diberkati di Malaysia dan berharap lahirnya muhaddith serta majlis periwayatan diteruskan.

Program bersempena Majlis Sama’ Hadis Jami’ Al-Tirmidhi dan Al-Syama’il Al-Muhammadiyyah Peringkat Antarabangsa 2026 itu memberi peluang kepada peserta mendalami pengajian hadis bersanad, khususnya berkaitan sifat, akhlak dan keperibadian Rasulullah SAW.

Antara ulama yang menyampaikan syarahan ialah Syeikh Maulana Abdul Hamid Chin dari Malaysia.

Beliau menekankan kepentingan penghayatan ajaran Islam dalam kehidupan seharian, termasuk tanggungjawab manusia terhadap masyarakat dan alam sekitar.

“Dengan agama, manusia akan jadi manusia yang sejati, mukmin yang sebenar. Tidak ada penipuan, tidak ada penindasan, tidak ada kezaliman.

“Ini sebenarnya tuntutan agama. Inilah amalan agama yang akan membawa kepada kebahagiaan dan keharmonian manusia, bukan saja orang Islam bahkan orang bukan Islam, bahkan haiwan-haiwan dan juga tumbuh-tumbuhan juga akan dapat manfaat,” katanya.

Sementara itu, Syeikh Dr. Naji Rashid Al-Arabi dari Bahrain menyambut baik penganjuran majlis berkenaan yang menghimpunkan ilmuwan hadis dari pelbagai negara.

“Antara nikmat Allah ke atas Malaysia ialah majlis-majlis yang diberkati ini. Di sinilah dibaca kitab-kitab agung Islam, iaitu kitab enam yang menjadi teras hukum Islam.

“Kami berharap pada tahun-tahun akan datang akan lahir para muhaddith dan muhaddithah dalam kalangan anak-anak Malaysia,” katanya.

Majlis Periwayatan Hadis 40 Bersanad bagi kitab Asy-Syama’il Al-Muhammadiyyah diteruskan hari ini, dengan penyertaan hampir 20 lagi ulama, termasuk Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil dan Al-Habib Dr. Ali Zainal Abidin Abu Bakar Al-Hamid.

Sementara itu, Majlis Pengkhataman dan pelancaran Muzakarah Umara’ dan Ulama’ (UMRAN) Pondok Peringkat Kebangsaan 2026 dijadual berlangsung esok, yang akan disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.