S2-OWN perluas peluang pemilikan rumah

Skim S2-OWN diharap dapat membantu lebih ramai keluarga memiliki kediaman sendiri

SHAH ALAM, 21 November – Pendekatan pemilikan rumah menerusi Skim Selangorku to Ownership atau S2-OWN diperkenalkan Kerajaan Negeri Selangor, khusus untuk membantu golongan yang berdepan kekangan mendapatkan pembiayaan perumahan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Projek perintis S2-OWN: 44 unit di Pangsapuri Rima Riang, PJS1, pada harga RM42,000 seunit.
  • Skim berkonsep sewa kepada sewa beli berperingkat untuk memudahkan peralihan kepada pemilikan.
  • Kerajaan negeri memberi perhatian kepada isu hak milik strata: 662 skim, 117,746 petak diduduki.
  • Dana Strata sasar 10 projek (3,032 unit) dengan perbelanjaan RM5.59 juta; Skim CERIA dirancang meningkat kepada RM10 juta untuk 30 projek.

Sebagai projek perintis, skim berkonsepkan sewa untuk milik itu menyasarkan 44 unit kediaman di Pangsapuri Rima Riang, PJS 1, Petaling Jaya, pada harga RM42,000 seunit.

Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor, Datuk Borhan Aman Shah berkata inisiatif itu merupakan antara komitmen kerajaan negeri dalam memperluas peluang pemilikan rumah menerusi Belanjawan Selangor 2027.

“Melalui pendekatan berperingkat daripada sewaan kepada sewa beli sebelum pemilikan, skim berkenaan diharap dapat membantu lebih ramai keluarga memiliki kediaman sendiri,”katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Selangor Property Expo 2026 yang berlangsung tiga hari bermula 20 November, menghimpunkan 32 pempamer daripada sektor hartanah dan institusi kewangan.

Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan negeri turut memberi perhatian kepada isu hak milik strata yang melibatkan 662 skim perumahan, merangkumi 117,746 petak kediaman yang telah diduduki.

Bagi tahun depan, Dana Strata Selangor menyasarkan penyelesaian 10 projek melibatkan 3,032 unit kediaman dengan anggaran perbelanjaan RM5.59 juta.

Peruntukan Skim CERIA juga dirancang meningkat kepada RM10 juta bagi melaksanakan 30 projek baik pulih dan penyelenggaraan harta bersama di kawasan perumahan strata.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.