
HULU SELANGOR, 21 November – Seramai 250 individu terdiri daripada 150 pemancing serta 100 petugas termasuk urus setia dan pasukan teknikal dari dalam dan luar Radio Televisyen Malaysia (RTM), menyertai Kejohanan Memancing Angkasapuri 2026 yang julung kali dianjurkan Broadcast Angler Club RTM dengan kerjasama Kelab Kebajikan dan Sukan Jabatan Penyiaran Malaysia di Batang Kali, di sini.
- Kejohanan mengeratkan silaturahim, menyemarakkan semangat kekeluargaan dan memperkukuh kerjasama RTM dengan rakan strategik.
- Aktiviti memancing memupuk kesabaran, meningkatkan daya tumpuan serta menyokong kesihatan mental dan kesejahteraan.
- Acara mendapat sokongan 15 rakan strategik; pemenang membawa pulang wang tunai keseluruhan RM7,000 dan sebuah motosikal.
Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ashwad Ismail berkata, penganjuran kejohanan itu bukan sekadar menggalakkan aktiviti riadah dalam kalangan warga penyiaran, malah menjadi wadah mempererat hubungan silaturahim, menyemarakkan semangat kekeluargaan serta memperkukuh jaringan kerjasama dengan rakan strategik RTM.
“Saya rasa penting untuk kita mendekatkan diri dengan komuniti terutama di Batang Kali ini dan lebih menarik lagi ‘Abang Popia Fishing Centre’ bukan sekadar kolam memancing, ia turut berperanan sebagai tempat untuk komuniti di sini mengamalkan gaya hidup sihat dan meningkatkan kesejahteraan kesihatan mental yang baik.
“Kita juga ucapkan terima kasih kepada barisan penaja yang sentiasa membantu RTM menaja program-program bersifat kemasyarakatan selain memastikan warga Jabatan Penyiaran mengamalkan gaya hidup sihat dan sentiasa positif dalam hidup ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui RTM pada Kejohanan Memancing Angkasapuri 2026 di Batang Kali di sini hari ini.

Menurut Datuk Ashwad kejohanan itu bukan sekadar aktiviti memancing semata-mata tetapi ia turut memberi impak positif terhadap daya tumpuan serta memupuk kesabaran yang tinggi.
“Dalam kalangan pengguna media sosial, kita kadangkala mudah dibawa emosi, sama ada kerana marah atau rasa tidak puas hati.
“Aktiviti memancing dapat membantu kita menenangkan fikiran kerana apabila berada dalam keadaan tenang, kita lebih mampu membuat keputusan yang terbaik,” katanya lagi.

Juara keseluruhan Kejohanan Memancing Angkasapuri 2026, Khairul Anuar Mustaffa, hanya mengambil masa kurang 10 minit untuk menaikkan ikan seberat 6.14 kilogram (kg), sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 serta tajaan peralatan memancing.
“Dalam tempoh sembilan minit 16 saat, saya berjaya menaikkan ikan seberat 6.14 kg sekali gus dinobatkan sebagai juara kejohanan hari ini.
“Selepas penat seharian bekerja, aktiviti seperti ini dapat membantu menghilangkan tekanan. Alhamdulillah, usaha hari ini membuahkan hasil dan menjadi kenangan manis,” katanya.
Bagi pengusaha Abang Popia Fishing Centre Hamka Ruslan, program berkenaan membantu pengurusan emosi dan mental dalam melaksanakan tugasan harian.
“Perkara paling penting dalam aktiviti memancing ialah sentiasa berfikiran positif dan mempunyai kesabaran yang tinggi. Ada kala kita pulang tanpa mendapat ikan, namun mungkin belum menjadi rezeki pada hari itu. Insya-Allah, jika diberi kesempatan, kita akan adakan edisi kedua,” katanya.
Wakil rakan strategik Sports Media & Distributor, Abdul Hakim Amir berkata, penganjuran program berunsur kemasyarakatan seperti itu penting dalam mewujudkan keseimbangan antara tuntutan kerja dengan kehidupan peribadi.
“Ini merupakan inisiatif yang sangat baik kerana memberi peluang kepada kakitangan organisasi seperti RTM keluar daripada rutin kerja harian dan menyertai aktiviti riadah yang bermanfaat untuk kesihatan minda serta fizikal.
“Pada masa sama, aktiviti seperti ini membolehkan kita mengunjungi lokasi baharu seperti Ulu Yam, sekali gus membantu merancakkan ekonomi penduduk setempat,” katanya.
Para pemenang turut membawa pulang wang tunai keseluruhan bernilai RM7,000 selain sumbangan motosikal daripada Sports Media & Distributor.
Kejohanan tersebut turut mendapat sokongan daripada 15 rakan strategik RTM yang turut berperanan dalam menjayakan acara berkenaan.
Antaranya, Pusat Pakaian Hari-hari, Abang Popia Fishing Centre, Sports Media Distributor, Jelas Juta Sdn Bhd, Eastern Fishing Tackle (M) Sdn. Bhd dan kaidoku Fishing.
Pemenang hadiah utama cabutan bertuah pada kejohanan itu membawa pulang sebuah motosikal yang menjadi milik Faizal Mahathir.
“Sememangnya menjadi hasrat kita untuk memberi ruang kepada warga RTM meluangkan masa bersantai dan berkumpul dalam suasana seperti ini.
“Sebelum ini, program seumpama ini belum pernah dianjurkan. Sebab itu, kita berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan pelaksanaannya menjadi kenyataan dan Alhamdulillah, hasrat itu berjaya direalisasikan,” katanya.