Golongan usahawan kecil di Kelantan bakal terima geran tambahan RM200 juta

Perdana Menteri (tengah) bersama para penerima Bantuan Peralatan di bawah Skim Bantuan Usahawan Bangkit di Kelantan hari ini/Foto BERNAMA

KOTA BHARU, 31 Oktober – Golongan usahawan kecil, khususnya dalam kalangan kumpulan berpendapatan rendah (B40), bakal menerima manfaat menerusi peruntukan geran tambahan RM200 juta.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bantuan kecil seperti RM5,000, RM3,000 dan RM1,800 mampu memberi impak langsung kepada perniagaan kecil.
  • Sokongan digunakan untuk keperluan praktikal, contohnya peti sejuk kecil menyelamatkan stok dan menambah pendapatan.
  • Kerajaan akan memantau pelaksanaan bagi memastikan bantuan disalurkan berkesan dan sampai kepada golongan sasaran.
  • Permohonan meningkat; setakat ini sekitar 4,000 permohonan diterima dan 446 telah diluluskan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, meskipun nilai bantuan yang disalurkan kepada setiap usahawan tidak besar, namun ia mampu memberi impak secara langsung kepada perniagaan mereka.

Beliau berkata, bantuan berjumlah RM5,000, RM3,000 malah RM1,800 mampu memberikan pulangan yang baik kepada usahawan kecil, bergantung kepada keperluan perniagaan masing-masing.

“Untuk tahun 2027, geran ini kita sudah tambah sehingga RM200 juta kerana saya lihat, walaupun peruntukan itu kecil, tetapi manfaatnya sampai secara langsung.

“Di beberapa tempat, saya lihat usahawan yang menjalankan perniagaan hanya memerlukan peti ais kecil yang murah untuk menyelamatkan barang-barang mereka. Usaha itu boleh menambah pendapatan mereka ribuan ringgit sebulan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Skim Usahawan Bangkit Negeri Kelantan hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan akan terus memantau pelaksanaan program berkenaan bagi memastikan bantuan disalurkan secara berkesan dan memberi manfaat kepada golongan sasar.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, permohonan bantuan menerusi inisiatif Sejati MADANI dalam kalangan usahawan di Kelantan setakat ini mencecah 4,000 permohonan, dengan 446 daripadanya sudah diluluskan.

Beliau yakin jumlah penerima manfaat akan terus meningkat bagi memastikan lebih ramai usahawan kecil mendapat peluang mengembangkan perniagaan masing-masing.

Dalam pada itu, Anwar berkata, kerajaan turut memberi perhatian kepada penglibatan wanita dalam bidang keusahawanan, khususnya di Kelantan yang mempunyai ramai usahawan wanita aktif dan gigih mengusahakan perniagaan.

Menurutnya, potensi besar golongan wanita dalam bidang berkenaan wajar terus diperkasa menerusi pelaksanaan program bantuan yang bersesuaian.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.