
KANGAR, 31 Oktober – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mata Ayer, Wan Badariah Wan Saad, 50 meninggal dunia di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini pada pukul 4.26 petang tadi.
- Pemergian beliau disahkan Ketua Penerangan PAS Perlis; umat diminta mendoakan agar roh dicucuri rahmat dan diampunkan segala dosa.
- Pada Mei 2024 beliau dirawat kerana komplikasi penyakit tiroid, pernah ditidurkan tetapi dilaporkan pulih dan kembali menjalankan tugas ADUN.
- Beliau peguam dari Padang Siding, Arau; pernah memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Perlis dan calon wanita pertama PAS Perlis untuk DUN Mata Ayer.
Berita pemergian Allahyarham disahkan oleh Ketua Penerangan PAS Perlis, Mohamad Zahid Ibrahim menerusi satu hantaran di laman Facebook.
“Marilah kita sama-sama mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh,” katanya.
Pada Mei 2024, media melaporkan Wan Badariah terpaksa ditidurkan bagi membolehkannya mendapat rehat secukupnya selepas mengalami komplikasi akibat penyakit tiroid.
Wan Badariah kemudiannya dilaporkan semakin pulih sebelum kembali menjalankan tugas sebagai ADUN.
Allahyarham pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Perlis di bawah pentadbiran bekas Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli.
Beliau yang merupakan seorang peguam berasal dari Padang Siding, Arau itu muncul calon wanita pertama dinamakan PAS Perlis bertanding kerusi DUN Mata Ayer pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.