
KUCHING, 22 November -Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg komited mempertahankan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri di bawah semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
- Menghargai semangat parti komponen yang berhasrat tidak bertanding pada PRN bagi mengekalkan keharmonian politik negeri.
- Menegaskan kerjasama negeri dan Persekutuan penting untuk mencari penyelesaian isu hak Bumi Kenyalang menurut peruntukan undang-undang.
- Mengharapkan semangat setia kawan Kerajaan Madani diterjemah pada PRN untuk memastikan keharmonian dalam Kerajaan Perpaduan.
- Meminta parti komponen peringkat nasional melihat usaha ini sebagai langkah bersama mengekalkan kestabilan politik dan menerapkannya di peringkat negeri.
Beliau yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) menghargai semangat parti-parti yang berhasrat tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.
“Sarawak berpegang pada semangat setia kawan dengan Kerajaan Persekutuan dan penting dalam mencari penyelesaian terhadap isu berkaitan hak Bumi Kenyalang
berdasarkan peruntukan undang-undang dan juga kepentingan negara,”katanya ketika berucap pada majlis pelancaran jentera Pilihan Raya Negeri Sarawak, Gabungan Parti Sarawak, GPS.
Sementara itu, Tan Sri Abang Johari yang ditemui media selepas majlis itu turut berharap semangat setia kawan antara parti-parti komponen dalam Kerajaan Madani dapat diterjemahkan pada pilihan raya negeri kali ini bagi memastikan keharmonian dalam Kerajaan Perpaduan.
Beliau juga berharap parti-parti komponen dalam kerajaan di peringkat nasional melihatnya sebagai satu usaha sama bagi memastikan kestabilan politik dapat dipertahankan.
“Kita berteraskan kepercayaan dan mempunyai semangat itu di peringkat nasional.
“Justeru, kita mahukan semangat itu di peringkat negeri agar kestabilan dapat dipertahankan,”katanya.