
NEW DELHI, 24 November – Sekurang-kurangnya 17 orang maut manakala ratusan lagi dimasukkan ke hospital selepas dipercayai meminum minuman keras tempatan yang tercemar di negeri Manipur, timur laut India.
- Seramai 1,130 individu menjalani pemeriksaan kesihatan, dengan 228 masih dirawat di hospital, termasuk 38 yang memerlukan dialisis.
- Pihak hospital memantau gejala keracunan seperti loya, muntah, perubahan penglihatan dan kesukaran bernafas.
- Siasatan mengesan bekalan minuman keras disyaki tercemar berasal dari Andro; sampelnya dihantar ke makmal untuk mengenal pasti bahan toksik.
- Sekurang-kurangnya enam individu ditahan, manakala kerajaan negeri menubuhkan jawatankuasa siasatan bagi mengenal pasti punca dan pihak bertanggungjawab.
Kejadian itu turut menyebabkan 1,130 individu menjalani pemeriksaan kesihatan setakat Ahad, dengan 228 masih menerima rawatan di hospital, termasuk 38 yang memerlukan dialisis.
Penguasa Perubatan Institut Sains Perubatan Jawaharlal Nehru (JNIMS), Nandeibam Kameshore Singh berkata, pihaknya sedang memantau pesakit bagi mengesan gejala keracunan alkohol.
“Ketika ini, kami mempunyai 55 pesakit dan sedang memantau sebarang gejala berkaitan pengambilan alkohol tercemar seperti sakit kepala, loya, muntah, sakit perut, perubahan penglihatan, kesukaran bernafas serta perubahan tahap kesedaran,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak panik dan mengelakkan pengambilan minuman keras tempatan atau yang disyaki tercemar.
Kejadian itu dipercayai menjejaskan penduduk di daerah Chandel dan kawasan berhampiran, dengan pihak berkuasa pada awalnya melaporkan kira-kira 600 kemasukan ke hospital.
Siasatan polis mengesan bekalan minuman keras yang disyaki tercemar itu berasal dari Andro, di daerah Kakching, dan usaha sedang dijalankan untuk mengenal pasti bagaimana minuman berkenaan diedarkan ke kawasan terjejas.
Sampel minuman keras terbabit dihantar ke makmal di Imphal dan Kolkata bagi mengenal pasti kandungan bahan toksik.
Setakat ini, sekurang-kurangnya enam individu ditahan, manakala polis turut menyerbu premis pembekal minuman keras haram dan merampas ribuan liter minuman berkenaan.
Kerajaan negeri Manipur turut menubuhkan jawatankuasa siasatan peringkat tinggi bagi menyiasat kematian itu, mengenal pasti sumber minuman keras tercemar serta pihak yang bertanggungjawab. – VIORY