
PORTIMAO, 24 November – Pelumba Sepanyol, Marc Marquez mencipta sejarah apabila menyamai rekod lapan gelaran dunia kelas premier selepas muncul juara dunia MotoGP 2026 pada Grand Prix (GP) Portugal, Ahad.
- Marquez menyamai rekod legenda Itali, Giacomo Agostini, dengan lapan kejuaraan dunia kelas premier.
- Dia bangkit daripada kecederaan, kemalangan dan ketinggalan 102 mata di belakang Bezzecchi.
- Sepanjang kempen 2026, Marquez meraih tujuh kemenangan perlumbaan utama dan 13 kemenangan pecut.
- Koleksi kejuaraan dunia Marquez kini mencecah 10 gelaran merangkumi semua kategori.
Pelumba Ducati itu mengesahkan kejuaraan meskipun hanya menamatkan perlumbaan di tempat kelapan, manakala pelumba Itali, Marco Bezzecchi muncul juara perlumbaan di Litar Antarabangsa Algarve.
Kejayaan itu membolehkan Marquez menyamai rekod legenda Itali, Giacomo Agostini yang turut memenangi lapan kejuaraan dunia kelas premier antara 1966 hingga 1975.
Lebih mengagumkan, kejayaan itu hadir selepas Marquez bangkit daripada musim yang dibelenggu kecederaan dan kemalangan, termasuk ketinggalan 102 mata di belakang Bezzecchi selepas tujuh pusingan.
Setibanya di garisan penamat, pelumba berusia 33 tahun itu melompat dari motosikal sebelum diangkat anggota pasukannya, selain berlari ke arah penyokong sambil menjerit kegembiraan.
“Gelaran tahun lalu untuk saya, yang ini untuk anda,” katanya kepada penyokong menerusi mikrofon.
Marquez turut menyamai rekod Agostini selepas mengumpul 439 mata, 43 mata mengatasi pencabar terdekatnya, Jorge Martin dari Aprilia yang berada di tempat kedua dengan 396 mata.
Bezzecchi pula menduduki tangga ketiga keseluruhan dengan 394 mata menjelang perlumbaan penutup musim di Valencia, Sepanyol, minggu depan.
Kejayaan itu cukup luar biasa memandangkan Marquez sebelum ini berdepan beberapa kecederaan sehingga terpaksa menjalani pembedahan dan terlepas dua perlumbaan, iaitu GP Perancis serta GP Catalonia.
Malah, dia ketinggalan 102 mata di belakang Bezzecchi selepas GP Itali di Mugello sebelum bangkit memenangi kejuaraan menerusi prestasi konsisten sepanjang baki musim.
Sepanjang kempen 2026, Marquez meraih tujuh kemenangan perlumbaan utama selain 13 kemenangan perlumbaan pecut (sprint).
Kejayaan terbaharu itu turut menjadikan koleksi kejuaraan dunia Marquez sebanyak 10 gelaran merangkumi semua kategori, selepas sebelum ini menjuarai kelas 125cc pada 2010 dan Moto2 pada 2012.
Walaupun Valentino Rossi memiliki tujuh gelaran dunia kelas premier, legenda Itali itu masih mendahului Marquez dari segi jumlah kemenangan perlumbaan individu dalam kategori berkenaan, iaitu 89 berbanding 80.
Sementara itu, Bezzecchi melengkapkan kemenangan berganda di Portugal selepas turut menjuarai perlumbaan pecut sehari sebelumnya, manakala Martin menamatkan perlumbaan utama di tempat kedua.
“Terima kasih untuk jentera ini,” kata Marquez kepada pasukan Ducati ketika melakukan pusingan meraikan kejuaraannya.
Kejohanan MotoGP 2026 akan melabuhkan tirainya menerusi GP Valencia di Sepanyol pada hujung minggu depan. – AFP