
- Tarikh dan lokasi rakaman tidak dapat disahkan.
- IRGC mendakwa operasi dilancarkan sebagai tindak balas terhadap pencerobohan ruang udara, menuduh dron MQ-1 dan MQ-9 milik AS.
- Pasukan pertahanan Bahrain menyatakan sistemnya berjaya memintas beberapa serangan udara.
- Pemintasan mengakibatkan serpihan jatuh dan kerosakan kecil; KDN Bahrain lapor kebakaran kemudahan perindustrian, tiada kecederaan. CENTCOM belum mengeluarkan maklum balas rasmi.
TEHRAN, 22 November – Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) pada Ahad menyiarkan rakaman video pelancaran dron yang didakwa sebagai sebahagian daripada operasi peluru berpandu dan dron yang menyasarkan dua radar sistem pertahanan udara milik Amerika Syarikat (AS) di Bahrain.
Tarikh dan lokasi rakaman berkenaan bagaimanapun tidak dapat disahkan.
IRGC memaklumkan Pasukan Aeroangkasanya melaksanakan operasi yang menyasarkan dua radar milik sistem pertahanan udara AS yang ditempatkan di pangkalan Riffa dan Aali di Bahrain menggunakan peluru berpandu dan dron.
“Serangan berkenaan dilancarkan sebagai tindak balas terhadap pencerobohan berterusan ke atas ruang udara Iran, sambil menuduh dron MQ-1 dan MQ-9 milik AS menceroboh ruang udara negara terbabit,” jelasnya.
Sementara itu, pasukan pertahanan Bahrain menyatakan sistem pertahanan udaranya berjaya memintas beberapa serangan udara oleh Iran.
“Operasi pemintasan itu mengakibatkan serpihan jatuh dan menyebabkan kerosakan kecil tanpa melibatkan sebarang kecederaan,” menurut kenyataan tersebut.
Dalam pada itu, Kementerian Dalam Negeri Bahrain melaporkan berlakunya kebakaran di sebuah kemudahan perindustrian awam yang didakwa merupakan serangan Iran, namun tiada kecederaan dilaporkan.
Markas Pusat AS (CENTCOM) belum mengeluarkan sebarang maklum balas rasmi terhadap dakwaan IRGC setakat ini.- VIORY